Ahad, 4 Disember 2016

Tok Gajah cuma selangkah julang piala

ARKIB : 14/06/1999
EPISOD pahit musim lalu hampir pasti tidak berulang buat Pahang yang kini hanya selangkah untuk menjulang kejuaraan bola sepak Liga Perdana Satu musim 1999, lapor JOHARI SHAWAL.

Kejayaan manis menundukkan musuh terdekat, Pulau Pinang di Kuantan kelmarin, harus memberi kelegaan tidak terhingga buat pasukan bimbingan Fuzzeimi Ibrahim.

Sesudah beberapa musim kempunan menunaikan hajat, inilah waktu terbaik bagi skuad Pantai Timur itu menebus kehampaan lalu.

Menjenguk kedudukan mata dalam carta liga, Pulau Pinang bakal menyerahkan mahkota kejuaraan kepada Pahang, Sabtu depan.

Kutipan 32 mata Tok Gajah kelihatan tidak langsung mampu digugat Negeri Sembilan dan Pulau Pinang - biarpun masing-masing mencatat kemenangan pada perlawanan terakhir.

Cuma Fuzzeimi, yang mengambil alih tugas Alan Davidson pada pertengahan musim, perlu memastikan pasukannya mencatat sekurang-kurang keputusan seri pada perlawanan terakhir menentang Kedah di Alor Setar, Sabtu depan.

Begitu pun, kekalahan sekali pun tidak mampu dipintas Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kerana kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan dengan jaringan besar - lima gol atau lebih - pada perlawanan terakhir masing-masing.

Fuzzeimi pula hanya perlu memastikan mereka tidak tewas besar kepada Kenari.

Malang bagi skuad juara liga musim lalu, Pulau Pinang yang terpaksa menyerahkan mahkota kejuaraan kepada Pahang selepas berusaha keras di Kuantan kelmarin.

Sudah terlambat bagi Harimau Kumbang untuk meranapkan impian Pahang dan merealisasikan pula buruan mereka apabila terpaksa pula berdepan juara Piala Malaysia, Perak pada perlawanan terakhir di tempat sendiri Sabtu depan.

Lima gol atau lebih harus dicari - sambil mengharapkan Pahang tumpas kepada Kedah dengan jaringan besar - misi yang pasti mustahil.

Apa lagi dengan ketiadaan ayam tambatannya, Azman Adnan yang mengutip kad merah ketika menentang Pahang, kelmarin dan atas kertas, pasukan Moey Yok Ham sebenarnya sudah tewas kepada Pahang.

Negeri Sembilan turut senasib dengan Pulau Pinang. Satu mata yang dikutip pada perlawanan dengan Sarawak di Paroi kelmarin, meranapkan harapan pasukan Irfan Bakti.

Si Rusa juga memerlukan kemenangan besar pada perlawanan terakhir tetapi lawan yang akan ditentang ialah Brunei, pasukan yang begitu liat dikalahkan di tempat sendiri.

Pendek kata, lenggok Si Rusa tidak bermakna, cuma imej perlu dipelihara selain kempen Piala Malaysia mula direncana.

Sabah, satu ketika penghuni tetap tangga ke-10 Perdana Satu sehinggalah Ken Worden menyuntik semangat, tiba-tiba menjadi pasukan keempat layak ke Piala Malaysia.

Dua lagi tempat kini direbut tiga pasukan - Sarawak, Kuala Lumpur dan Terengganu - dengan perlawanan Kuala Lumpur-Terengganu di Cheras, Sabtu depan dijangka hebat.

Sarawak pula memerlukan seri dengan Sabah di Kuching untuk mengesahkan tempat.

Apa pun, tiga pasukan - Perak, Brunei dan Kedah - yang gagal layak secara automatik ke Piala Malaysia dan satu lagi antara tiga pasukan - Kuala Lumpur, Terengganu dan Sarawak - masih punya kesempatan untuk beraksi dalam pertandingan berpretij itu dalam perlawanan play-off dengan pasukan dari Perdana Dua.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RsStaFM1 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan