Sabtu, 17 Disember 2016

Pahang guna sistem serampang dua mata

ARKIB : 31/03/2000
SISTEM penyerang serampang tiga bakal digunakan oleh Pahang apabila melayani kunjungan Johor pada perlawanan kedua pusingan kedua bola sepak Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan esok.

Jika sebelumnya cuma Azizul Kamaluddin dan Wan Rohaimi Ismail kerap menjadi sandaran Tok Gajah memburu gol, gandingan itu kali ini mendapat teman baru dengan kehadiran Wan Ahmad Ridzuan Hussin.

Jurulatih Fuzzeimi Ibrahim percaya, trio penyerang ini bakal menghasilkan lebih banyak pilihan kepada pasukan mencipta jaringan seterusnya memastikan kemaraan Pahang ke suku akhir.

''Apapun, penggunaan khidmat Ridzuan cuma sebagai langkah persediaan. Jika Shahrin Majid masih belum pulih daripada kecederaan, peluang Ridzuan muncul dalam kesebelasan utama terbuka luas,'' katanya.

Shahrin yang berhijrah ke Pahang selepas bersama Selangor musim lalu, mengalami kecederaan hamstring ketika sesi latihan Tok Gajah dua hari lalu.

''Disebabkan Shahrin mungkin tiada di bahagian tengah, Ridzuan diharap dapat menutup kekosongan itu. Pahang perlu menang untuk ke suku akhir dan penggunaan tiga penyerang, akan mendekatkan lagi peluang kami,'' katanya.

Ahad lalu, Stadium Pasir Gudang menyaksikan Pahang terikat 2-2 dengan Johor dalam perlawanan pertama pusingan kedua kejohanan kalah mati kebangsaan ini.

Kehadiran Ridzuan mungkin dikaitkan dengan kegagalan barisan penyerang Pahang di Pasir Gudang menyumbat sebarang gol akibat dikawal rapi benteng tuan rumah.

Tok Gajah bagaimanapun mengutip dua golnya itu menerusi pemain pertahanan, Jalaluddin Jaafar dan Mohd. Ali Taha.

''Namun Pahang tidak sesekali memandang mudah saingan Johor. Saya akui, jurulatihnya, Steve Darby pasti merangka strategi tersendiri,'' kata Fuzzeimi lagi.

Beliau menambah, kelebihan bermain di gelanggang sendiri tidak wajar disia-siakan oleh anak buahnya apatah lagi sasaran pasukan ialah mara ke perlawanan akhir Piala FA.

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4T9N1h800 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan