Jumaat, 2 Disember 2016

Tok Gajah rampas takhta liga

ARKIB : 12/05/1999
PAHANG memintas Pulau Pinang untuk merampas takhta bola sepak Liga Perdana Satu selepas menewaskan Perak 2-1 dalam perlawanan atas padang lembap di Stadium Perak, Ipoh semalam.

Azizul Kamaludin muncul wira dengan jaringan kemenangan pada minit ke-90. Dia juga turut menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-74 selepas Perak mendahului menerusi jaringan M. Nagarajah pada minit ke-63.

Kemenangan itu jelas memisahkan ibarat langit dan bumi antara Pahang yang berada di puncak liga manakala Perak tersungkur di tangga tercorot.

Perak yang memulakan babak pertama patut menyalahkan diri sendiri apabila beberapa peluang gagal disempurnakan.

Azrul Amri Burhan dua kali berpeluang menjaringkan gol tetapi sepakannya pada minit ke-13 hanya melintang di depan pintu gol, Manakala sepakannya ketika hanya berdepan dengan Muadzar pada minit ke-26 sempat ditepis keluar.

Pahang menerusi Wan Rohaimi juga gagal menyempurnakan peluang yang serupa ketika hanya berdepan dengan Murugan pada minit ke-30.

Perak turut bernasib baik apabila dua jaringan Wan Rohaimi pada minit ke-33 dan 36 dibatalkan pengadil kerana ofsaid.

Separuh masa kedua menyaksikan Perak menggandakan asakan dan Azrul sekali lagi mempunyai ruang menjaringkan gol tetapi sepakannya dari jarak 30 meter terkena palang.

Dalam keadaan terdesak itu, Nagaraja tiba-tiba memecah kebuntuan dengan jaringan cantik menerusi tandukan hasil hantaran lintang Lim Seng Kong pada minit ke-63.

Tidak cukup dengan gol itu, Nagaraja sekali lagi berpeluang menjaringkan gol tetapi beliau gagal mengawal bola untuk menyempurnakan hantaran cantik Domi Che Non di depan pintu gol Pahang pada minit ke-68.

Bagaimanapun kealpaan barisan pertahanan Perak pada minit ke-74 memberi ruang kepada Jalaludin Jaafar membuat hantaran lintang yang kemudiannya disempurnakan dengan tandukan oleh Azizul untuk menyamakan kedudukan.

Gol itu menaikkan semangat Pahang dan 10 minit terakhir digunakan sebaiknya untuk mengasak dan akhirnya gol kemenangan datang di minit terakhir permainan menerusi gerakan solo Azizul.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4Rkx4HbZM © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan