Jumaat, 16 Disember 2016

Kamree terpaksa berehat semusim

ARKIB : 01/03/2000
PERSATUAN Bola Sepak Pahang (PBNP) masih boleh bertolak ansur dengan tindakan pemain bermasalahnya, Tuan Kamree Tuan Yahya yang keluar meninggalkan pasukan, baru-baru ini.

Naib Presiden Satu PBNP, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, persatuan tidak bercadang untuk mengenakan apa-apa tuntutan bayaran terhadap Kamree walaupun dia memang telah melanggar kontrak.

''Kalau boleh, kami mahu mencapai persefahaman secara baik dengannya. Namun yang pasti, dia kini tidak boleh didaftarkan sebagai pemain Pahang bagi menghadapi Liga Malaysia musim ini,'' kata Jamal.

Beliau menambah, Kamree bagaimanapun tidak mungkin dapat menyertai sebarang pasukan lain dalam Liga Malaysia selepas ini kerana PBNP bertegas, enggan mengeluarkan surat pelepasan kepadanya.

Kamree, bekas perantara Olimpik Malaysia 1996 meninggalkan Tok Gajah walaupun baru menandatangani kontrak bermain bagi musim ini sejurus sebelum pasukan berlepas ke Brunei untuk menyertai Piala Jemputan NBT Toyota.

Dia sebelum itu sempat bermain pada Kejohanan Empat Penjuru di Kota Bharu yang menyaksikan Pahang berkesudahan di tangga tercorot di belakang Pulau Pinang, Terengganu dan JKR Kelantan.

''Kamree berkecil hati dengan teguran jurulatih Fuzzeimi Ibrahim walaupun ia adalah untuk kebaikannya sendiri sebagai pemain profesional.

''Pengurusan pasukan cuma mahukan dia memperbaiki prestasinya tapi dia tidak boleh terima. Jadi saya katakan kepadanya, jika begitu lebih baik dia tinggalkan saja Pahang,'' jelas Jamal.

Menurut beliau, prestasi hambar bekas pemain Kelantan itu telah dikesan oleh pengurusan pasukan sejak siri perlawanan persahabatan di Negeri Sembilan dan Kuantan sendiri.

Apa pun, Jamal berpendapat, pemergian Kamree tidak akan menjejaskan banyak persediaan Pahang menjelang saingan sulung Liga Malaysia pertengahan bulan ini - Piala FA.

Sementara itu, Pahang kini memikul misi mustahil untuk terus bersaing pada Piala Jemputan NBT apabila tewas 1-3 kepada kelab Persija dari Indonesia, kelmarin.

Ini ekoran peluangnya ke separuh akhir agak malap sesudah cuma seri 1-1 dengan tuan rumah, Sabtu lalu. Tok Gajah juga perlu bergantung kepada keputusan perlawanan Brunei-Persija untuk memastikan kemaraannya.

Jaringan tunggal juara bertahan Perdana Satu ini diperoleh menerusi gerakan menarik bekas penyerang kebangsaan, Azizul Kamaluddin hasil hantaran abangnya, Azhar pada separuh masa pertama.

Jamal yang juga pengurus pasukan, berkata, tiga gol yang membolosi gawang Pahang itu bukanlah bermakna wujudnya kelemahan ketara benteng serta penjaga gol ketiga, Azihan Kamaluddin.

''Mana-mana penjaga gol pun memang sukar untuk menyekat gol itu,'' katanya mengulas perlawanan yang terpaksa menampilkan barisan simpanan Pahang itu gara-gara komitmen tonggaknya dengan skuad kebangsaan serta masalah kecederaan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0301&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4SzqF5800 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan