Isnin, 19 Disember 2016

Pahang terus ditimpa malang

ARKIB : 19/04/2000
Pahang terus ditimpa malang
SELANGOR memanfaatkan kesempatan daripada rentak hambar Pahang kebelakangan ini apabila mengaibkan juara bertahan itu 1-0 pada perlawanan bola sepak Perdana Satu di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.

Sedang Tok Gajah meratapi deretan kekalahan sejak di Pasir Gudang lalu, Red Giant pula mempamerkan langkah meyakinkan dengan memungut tiga mata penuh.

Penyumbang kemenangan sulung pasukan pelawat ialah pemain yang kurang dikenali, S. Sivaram pada minit ke-55.

Sekalipun masih terkilan kerana cuma beroleh satu mata Sabtu lalu, Selangor ternyata garang untuk menguasai babak pertama menerusi gandingan dua penyerang kebangsaan Zami Mohd. Nor dan Rusdi Suparman.

Pahang pula seperti tidak memikirkan betapa reputasinya selaku juara bertahan Perdana Satu dan kelebihan bermain di gelanggang sendiri perlu dibela dan dimanfaatkan.

Hantaran dan persefahaman pemain tuan rumah begitu longgar hinggakan barisan tengah dan serangannya sekadar mampu mengejar bola tanpa sebarang gerakan bermakna.

Di kawasan tempat duduk utama, bagaikan ada isyarat protes di kalangan penyokong Tok Gajah gara-gara prestasi hambar pasukan mereka sejak suku akhir pertama Piala FA lalu. Ini terbukti apabila cuma 2,000 penonton masih sangggup hadir di Stadium Darul Makmur.

Penjaga gol Selangor, Azmin Azram Aziz lebih banyak berlegar-legar di kawasan penaltinya sedangkan Zami dan Rusdi tidak putus-putus meluaskan kemaraan mereka ke kubu lawan.

Satu rembatan jarak jauh pasukan pelawat muncul menerusi Jaafar Salleh menguji penjaga gol Pahang, Juraimi Hassan pada minit ke-24 tetapi terlalu tinggi untuk menemui cabaran.

Selangor mengganas lagi pada minit ke-37 namun Rizal Hassan mensia-siakan gerakan satu sama satunya dengan Juraimi apabila sepakannya tersasar.

Rusdi pada minit ke-48 juga senasib dengan Rizal. Dia yang cuma perlu mengatasi Zuraimi masih gagal menyumbangkan gol.

Usaha Selangor itu bagaimanapun berbalas pada minit ke-55. Sepakan sudut daripada Jaafar dari sebelah kiri tepat menyapa kepala Sivaram yang melompat lalu menanduk masuk untuk gol pelawat.

Minit ke-66 menyaksikan satu lagi peluang Selangor tiba untuk menambah gol.

Nazzab Hizan nyaris muncul penjaring gol kedua jika tanpa tampanan pantas Zuraimi.

Tuan rumah akhirnya menemui peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-75 malangnya sepakan percuma dalam kotak penalti oleh Badrul Afzan Razali memilih tembok pertahanan daripada menemui gawang Selangor.

PAHANG: Zuraimi Hassan, Jalaluddin Jaafar, Suhaimi Mohd. Nor, Azahar Kamaluddin, Wan Rohaimi Ismail, Shahrin Majid (Azlan Rahman), Azizul Kamaluddin, K. Ramachandran (Shahnoor Safi), Khairul Nizam Hanif, Azaruddin Aziz, Idris Karim (Badrul Afzan Razali).

SELANGOR: Azmin Azram Aziz, Shamsul Amri Abu Bakar, B. Rajnikandh, M. Chandran, Nazzab Hidzan, Rusdi Suparman, Zami Mohd. Nor (Faizal Ezahar), S. Sivaram (Nor Suhaimi Bahaudin), Assrof Hanafiah, Rizal Hassan, Jaafar Salleh.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0419&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4THWfZrRC © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan