Isnin, 19 Disember 2016

Pahang sanggup korban

ARKIB : 20/04/2000
PAHANG sanggup mengorbankan sebilangan besar tenaga tonggak untuk digantikan dengan pemain Liga Simpanan atau skuad bawah 19 tahun jika cara itu berkesan memulihkan prestasinya dalam Liga Malaysia yang kian menjunam.

Pengurus pasukan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, tindakan drastik ini bakal dilakukannya tanpa mengira sama ada pemain terbabit pernah mewakili skuad negara atau tidak.

''Apa gunanya kita memiliki pemain yang bertaraf bintang atau pemain kebangsaan jika kekurangan kemahiran asas masih ketara dalam aksi mereka.

''Jika tanpa kemahiran asas seperti umpanan dan tandukan, mereka tidak layak digelar profesional kerana soal itu sudah sepatutnya dikuasai pada peringkat bawah 14 tahun,'' katanya.

Menurut beliau, untuk mengajar pemain kembali ke soal asas itu memang tidak dapat diterima akal sedangkan Pahang sudah sepatutnya memasuki peringkat mengubah taktik permainan.

Kata Jamal, kesanggupan untuk menggugurkan mereka tidak bermakna Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) cuba bersikap kejam atau terlalu menekan.

''Sebagai majikan yang membayar gaji mereka, PBNP sekadar mahu memastikan komitmen wujud dalam permainan pemain,'' tegasnya yang juga Naib Presiden Satu PBNP.

Tanpa memberitahu identiti mereka yang kini telah disenarai hitam, beliau menambah, umum akan mengetahui siapa sebenarnya yang terbabit pada pertemuan Perdana Satu dengan Terengganu, Sabtu ini.

Tok Gajah tewas 0-1 kepada Selangor dalam saingan Perdana Satu di Kuantan, kelmarin sekali gus mencatatkan deretan kekalahan ketiga termasuk sejak suku akhir pertama Piala FA, minggu lalu.

Sebelumnya, juara bertahan Perdana Satu ini kecundang 1-3 kepada Johor ketika membuka tirai liga di Pasir Gudang dan 0- 3 pada Terengganu dalam suku akhir Piala FA di gelanggang sendiri.

Skuad bimbingan Fuzzeimi Ibrahim ini akan bertandang ke Kuala Terengganu dua kali iaitu bagi perlawanan Perdana Satu (Sabtu ini) dan 25 April (suku akhir kedua Piala FA).

Sementara itu, Jamal berkata, PBNP akan menyerahkan surat bantahan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai menyatakan rasa tidak puas hati atas mutu pengadilan Sukri Mat Amin dari Terengganu, kelmarin.

''Dua insiden melibatkan pemain Selangor tidak ditangani dengan tegas. Assrof Hanafiah yang menampan bola dengan tangan patut dilayangkan kad merah kerana telah menghalang gerakan Azizul Kamaluddin memburu gol dengan sengaja.

''Saya juga hairan bagaimana pengadil cuma memberikan sepakan percuma dalam kotak penalti sedangkan kaki pemain Selangor, Shamsul Amri Abu Bakar ketika itu jelas melakukan kekasaran yang amat berbahaya,'' katanya.

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4THdKPKKq © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan