Isnin, 19 Disember 2016

Pemain tiada komitmen akan digugur -- Tok Gajah gelabah disengat Jengking

ARKIB : 17/04/2000
PAHANG tidak akan teragak-agak menggugurkan mana-mana pemain kebangsaan yang gagal memberikan komitmen di samping memberi amaran terakhir kepada penjaga golnya, Zuraimi Hassan.

Pengurus pasukan, Datuk Jamal Nasir Ismail nyata kecewa dengan persembahan keseluruhan pasukan itu ketika tewas 3-1 kepada Johor.

Katanya, persembahan Pahang dalam perlawanan pertama di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru itu kelmarin adalah yang terburuk pernah dilihatnya.

Beliau menganggap kekalahan pasukan itu berpunca daripada persembahan yang kurang bersungguh-sungguh oleh Zuraimi.

''Dua gol yang diperoleh oleh Johor menerusi Azmil Azali boleh diselamatkan oleh penjaga gol sekiranya mempunyai kesungguhan yang tinggi,'' katanya selepas perlawanan menentang Johor, kelmarin.

Pada perlawanan itu, gol Johor diperoleh menerusi Azmil pada minit ke-16, 70 dan Nazreen Tee Abdullah pada minit ke-87.

Pahang pula memperoleh gol sagu hati menerusi jaringan Shahrin Majid pada minit-minit terakhir permainan.

Beliau memberitahu, kesebelasan utama yang diturunkan telah diberi amaran sewaktu rehat.

Johor menggunakan kesempatan sepenuhnya diatas kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh pasukan pelawat pada separuh masa pertama. Pahang berusaha bangkit tetapi mereka kian tertekan.

''Saya tidak mempunyai pilihan kecuali menurun kesemua pemain baru dan merehatkan pemain-pemain ternama jika bentuk persembahan pasukan tidak berubah,'' katanya.

Pahang akan berdepan dengan Selangor esok dengan harapan para pemainnya mengubah sikap dengan memberikan persembahan terbaik.

Katanya, beliau lebih rela meletakkan pemain-pemain yang tidak ternama daripada menaruh harapan kepada pemain ternama sedangkan harapan yang diimpikan tidak boleh menghasilkan sebarang kejayaan.

Bagaimanapun, Jamal berkata, beliau memberi peluang kepada barisan pemain yang ada untuk membuktikan sesuatu apabila menentang Selangor di Stadium Darulmakmur, esok.

Mengulas mengenai persembahan bekas pemain Johor, Idris Karim, Jamal berkata beliau berpuas hati dengan kesungguhan pemain itu.

Idris baru pulih daripada kecederaan di pergelangan kaki dan dijangka boleh bergerak lincah tidak lama lagi apabila kecederaan itu pulih sepenuhnya.

Sementara itu, persaingan Liga Perdana musim ini menjanjikan kejutan-kejutan terbaru.

Liga Perdana Dua yang bermula Jumaat lalu menyaksikan pasukan bertaraf kelab mendahului kedudukan mata dengan NS Chempaka yang mendapat bimbingan jurulatih import dari Uzbekistan menjadi pendahulu berikutan kejayaan menumpaskan TNB Kelantan 2-1.

Dalam saingan Perdana Satu kelmarin, Johor dan Terengganu menjadi dua pasukan yang berjaya mengumpul mata penuh dalam perlawanan pembukaan.

Lima lagi perlawanan berlangsung esok. Johor terpaksa mengharungi perjalanan jauh ke Stadium Hassanal Bolkiah, menentang penyandang juara Piala Malaysia, Brunei.

Sarawak pula bertemu juara Piala Sumbangsih, Kuala Lumpur di Stadium Negeri. Negeri Sembilan pula menanti kunjungan Sabah. Perak bertemu Pulau Pinang di Stadium Perak sementara Pahang yang tewas kelmarin menentang Selangor di tempat sendiri

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0417&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4THLdYQ9H © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan