Sabtu, 24 Disember 2016

Pahang perlu bertindak

ARKIB : 05/06/2000
PAHANG perlu segera melakukan sesuatu jika mahu para penyokong mereka terus mengunjungi Stadium Darul Makmur untuk memberi sokongan kepada pasukan itu dalam saingan bola sepak Liga Perdana Satu musim ini.

Kekalahan 0-1 kepada pasukan pelawat, Perak di Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin nyata meresahkan.

Malah secara keseluruhannya, pasukan itu gagal menampilkan aksi menarik terutama pada babak pertama permainan.

Pahang terlalu banyak mengharapkan sentuhan pemain kebangsaan, Idris Karim dari Johor untuk menggerakan ruang serangan dari bahagian sayap.

Bagaimanapun setiap hantaran gagal mendapat penyudah yang baik daripada rakan-rakan.

Gandingan penyerang _ Shahrin Majid dan Azizul Kamaluddin gagal melakukan penyudah yang berkesan untuk memastikan Pahang mendapat gol melalui serangan yang dirancang.

Ini kerana kebanyakan gerakan serta serangan Pahang berakhir dengan sepakan-sepakan liar melepasi palang gol atau tersasar jauh.

Persembahan hambar Pahang itu nyata mengecewakan para peminat pasukan handalan Pantai Timur itu.

Malah corak permainan mereka memberi gambaran seolah-olah mereka tidak bersedia atau menjalani latihan.

Persaingan liga masih awal dan para pemain Pahang mungkin masih belum 'panas.'

Begitupun sikap pemain yang kelihatan tidak bersungguh-sungguh ketika beraksi mungkin mengundang padah bagi Pahang.

Ini kerana para peminat pasukan ini menuntut persembahan terbaik Pahang terutama apabila beraksi di tempat sendiri.

Dalam beberapa gerakan dan serangan yang diatur, Idris Karim kelihatan memainkan peranan mencorak permainan dan sekali-sekali membuat percubaan yang tepat ke pintu gol.

Hakikat kelemahan pasukan Pahang ini diakui sendiri oleh jurulatihnya, Fuzeimi Ibrahim yang berjanji akan segera memperbaiki kelemahan berkenaan pada perlawanan akan datang.

''Memang itulah (keadaannya) dan kita berusaha memperbaikinya pada perlawanan akan datang,'' katanya ketika dihubungi di Kuantan sebagai mengulas prestasi semasa anak buahnya.

Kelemahan Pahang menggunakan peluang di hadapan penyokong sendiri sebaliknya digunakan sepenuhnya oleh para pemain Perak untuk memastikan kemenangan.

Perak kerap mengatur gerakan yang baik dan akhirnya peluang keemasan muncul dengan begitu kemas sekali pada minit ke-78 ketika penyerang Perak membuat asakan demi asakan di kawasan lawan.

Ketika itulah V. Saravanan berjaya merebut bola dan terus membuat hantaran silang kepada pemain gantian, M. Nagaraja yang menunggu di tengah untuk melepaskan sepakan yang mengecewakan tuan rumah.

Hanya selepas itu barulah Pahang kembali mengatur langkah untuk mendapatkan gol penyamaan yang sedikit sebanyak merancakkan permainan tetapi itu semua sudah terlambat.

Pahang harus mengubah senario yang tidak memberangsangkan sekarang supaya kedudukan menjadi lebih baik lagi demi peminat sukan tempatan yang sentiasa memberi sokongan.

Dengan kedudukan di tangga kelapan hasil 10 perlawanan, ia bukan satu kedudukan yang selesa bagi pasukan yang pernah bergelar juara Piala Malaysia.

Keadaan akan bertambah buruk bagi Pahang pada musim ini jika langkah-langkah 'pencegahan' untuk memperbaiki permainan yang tidak kemas itu tidak diambil daripada sekarang.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0605&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4TkVilkkV © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan