Ahad, 11 Disember 2016

Penyerang kembar Tok Gajah kehilangan bisa

ARKIB : 22/10/1999
PENYERANG kembar Pahang, Azizul Kamaluddin dan Wan Rohaimi Ismail perlu mengembalikan semula sentuhan berbisa yang selama ini menjadi aset penting Pahang apabila berhadapan dengan Johor di gelanggang lawan malam esok, bagi memastikan skuad Tok Gajah tidak terus berputih mata, lapor YUSWANDI MAJID.

Peranan kedua-dua penyerang itu yang selama ini digeruni lawan seperti sudah menurun sehingga menyaksikan Pahang hanya seri dan tewas dalam dua perlawanan terakhir.

Hakikat itu sememangnya diakui oleh jurulatih Pahang, Fuzzeimi Ibrahim dan mahu kedua-dua pemain itu memberi persembahan terbaik bagi mengembalikan semula sentuhan berbisa.

''Peranan kedua-dua pemain itu sangat penting tetapi dalam lima perlawanan lalu mereka hanya mampu menjaringkan satu gol dalam lima perlawanan,'' katanya.

Azizul hanya menjaringkan satu gol ketika Pahang menewaskan Johor, manakala Wan Rohaimi menyumbat gol ketika menentang Brunei.

Fuzzeimi berkata, justeru itu, kedua-dua mereka perlu berusaha mengembalikan semula sentuhan dan menjaringkan lebih banyak gol untuk membantu Pahang layak ke separuh akhir Piala Malaysia.

''Bagaimanapun, kedua-dua pemain itu tidak dipersalahkan kerana bola sepak adalah permainan berpasukan yang memerlukan komitmen semua pemain bagi memastikan kemenangan,'' katanya.

Menurutnya, kegagalan Azizul dan Wan Rohaimi menghasilkan gol juga bergantung kepada banyak faktor antaranya kawalan ketat pertahanan lawan.

''Reputasi sebagai gandingan penyerang berbisa pada persaingan Liga M lalu telah menyebabkan mereka sentiasa dikawal ketat sehingga menyukarkan pergerakan mereka.

''Bagaimanapun, faktor ini tidak seharusnya menjadi alasan sebaliknya mereka harus bijak mencari ruang untuk memerangkap pertahanan lawan,'' katanya.

Pahang setakat ini menduduki tangga kedua di belakang Brunei dengan perbezaan jaringan walaupun mempunyai mata yang sama dalam kumpulan B.

Skuad Tok Gajah bermula dengan baik pada tiga perlawanan pertama tetapi sekadar seri perlawanan seterusnya dan tewas dalam perlawanan terakhir di tangan Sabah.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1022&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4SWuAsF4e © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan