Jumaat, 9 Disember 2016

Piala Malaysia Pahang 1-1 Kelantan

LWEB AHMADYAAKOB
Pemain Kelantan, Zairul Fitree diasak pemain Pahang pada perlawanan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi. Keputusan terikat 1-1. - Utusan/AHMAD ZAKKI JILAN
KUANTAN - Hasrat juara bertahan, Kelantan mencari kemenangan pertama di tempat lawan gagal apabila sekadar seri 1-1 dengan Pahang dalam pembukaan saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur di sini, semalam.
Kelantan membuka tirai perlawanan menerusi ketua pasukan, Mohd. Badri Radzi atau Piya setelah menyambar bola yang terkena R. Gobinathan sebelum menewaskan penjaga gawang, Mohd. Khairul Azhan seawal minit ke-8.
Tersentak dengan jaringan itu, Pahang berusaha bangkit menyamakan kedudukan dengan melakukan beberapa percubaan menarik, namun pertahanan pasukan pelawat sukar digugat.
Minit ke-85 menyaksikan Pahang berjaya memecahkan kebuntuan mencari gol penyamaan setelah pemain importnya, Damion Delano Stewart menanduk masuk bola ke gawang Kelantan hasil hantaran Mohd. Hafiz Kamal.
Terdahulu, separuh masa pertama menyaksikan Pahang hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-17 setelah Matias Ruben Conti menanduk bola ke gawang lawan selepas menerima hantaran lintang Mohd. Saiful Nizam, namun melewati palang gol.
Malah, usaha Tok Gajah mencari gol penyamaan terus buntu meskipun memperoleh peluang pada minit ke-41, apabila Amirul Hadi Zainal melakukan percubaan dengan merembat dari luar kotak penalti namun bola ditepis keluar oleh penjaga gol The Red Warriors, Khairul Fahmi Che Mat.
Skuad Kelantan kendalian Bojan Hodak turut mengasak kubu tuan rumah menerusi Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-36, namun hampa.
Nasib malang menimpa pasukan Kelantan yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Mohd. Fakri Sharani menerima kad merah kerana mengasari Mohd. Hafiz Kamal pada minit ke-64.
Pahang juga turut menerima nasib sama setelah R. Surendren pula dilayangkan kad merah akibat tindakannya menendang Daudsu Jamaluddin pada minit-81.
Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130821/su_01/Kelantan-akur#ixzz2cbQADjUv

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan