Sabtu, 3 Disember 2016

Tok Gajah bertahan di tangga atas

ARKIB : 09/06/1999
PAHANG masih bertahan di tangga teratas kedudukan mata bola sepak Perdana Satu meskipun tewas 0-1 kepada Kuala Lumpur di Stadium Kuala Lumpur (KLFA), Cheras semalam.

Kejayaan Pahang mengekalkan kedudukan itu turut dibantu oleh kegagalan pesaing terdekatnya, Pulau Pinang yang hanya meraih satu mata di tempat sendiri selepas kalah 3-4 kepada Sabah dalam penentuan tendangan penalti.

Pahang yang mengintai untuk mencari tiga mata penuh bagi menjarakkan diri dari saingannya Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, akur dengan jaringan tunggal perlawanan dihasilkan penyerang Kuala Lumpur, G. Muthu pada minit ke- 79.

Begitupun kemenangan milik tuan rumah itu sekadar memperbaiki kedudukannya dalam saingan liga dalam usaha mencari enam tempat secara automatik ke Piala Malaysia dengan dua baki perlawanan perlu diharungi.

Gol kemenangan Kuala Lumpur hanya diperolehi pada babak kedua hasil hantaran cantik M. Eswaran yang tepat ditanduk masuk oleh Muthu menewaskan Mudzar.

Gol itu menyelamatkan keadaan ketika babak awal bermula dengan aksi yang membosankan kerana corak permainan berhati- hati kedua-dua pasukan.

Begitupun Pahang tersentak dengan ancaman awal tuan rumah pada minit ke-10.

Mohd. Imran Ahmad yang memperoleh peluang terbaik di depan pintu gol pelawat sekadar melepaskan rembatan kencang tidak menepati sasaran.

Pahang yang terdesak cuba menggandakan asakan serangan menerusi rangkaian Azizul Kamaluddin dan Wan Rohaimi Ismail tetapi mendapati benteng Kuala Lumpur dikemudi Azlan Hussain sukar ditembusi.

Sebaliknya tuan rumah jelas menguasai pentas saingan dengan kawalan dan hantaran tepat namun buntu ketika di depan pintu gol pelawat.

Giliran pemain tinggi lampai tuan rumah, Nizaruddin Yusof hampa melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti sekadar melewati palang gol.

Pelawat sekadar memperolehi peluang terbaik menerusi Ali Taha namun rembatannya juga turut melewati palang gol tujuh minit sebelum rehat.

Pada minit ke-59, usaha Kuala Lumpur untuk memecaah kebuntuan jaringan gol hampir menjadi kenyataan tetapi rembatan lemah Nizaruddin sekadar tepat ke dakapan penjaga gol Pahang, Mudzar Mohd.

Pahang terus tenggelam tanpa aksi menarik menjadi paparan jauh berbanding ketika menewaskan Brunei 2-0 Sabtu lepas di gelanggang sendiri.

Pada minit ke-75, pelawat hampir-hampir membuka tirai jaringan menerusi rembatan kencang Jalaludin Jaafar berjaya ditampan pertahanan tuan rumah.

Kebuntuan jaringan gol menjadi milik tuan rumah pada minit ke-79 apabila hantaran silang M.Eswaran berjaya ditanduk masuk oleh penyerangnya G.Muthu menewaskan Muadzar.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0609&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RqOHsX00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan