Rabu, 14 Disember 2016

Tengku Abdullah setuju biayai rawatan Shadan


 

ARKIB : 07/01/2000
TENGKU Abdullah bertanya sesuatu kepada Shadan Zahari (kiri) ketika beliau mengunjungi bekas pemain Pahang itu di rumah pemain itu di Kampung Pahang Tua di Pekan semalam.

WALAUPUN tidak lagi mampu bermain akibat lumpuh selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya tiga tahun lalu, jasa bekas pemain Olimpik negara, Shadan Zahari tidak pernah dilupakan.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mengunjungi pemain itu di rumahnya di Kampung Pahang Tua semalam, bersetuju membiayai rawatannya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Dengan pembiayaan itu, Shadan, 27, akan mendapat khidmat daripada pakar baik pulih anggota di HTAA bagi merawat lumpuh di bahagian pinggang ke bawah.

''Saya mencadangkan Shadan ditempatkan di HTAA supaya perkembangannya dapat diteliti dan harapannya untuk sembuh atau sekurang-kurangnya mampu berdikari akan menjadi lebih besar,'' katanya.

Beliau berkata, Shadan lumpuh di anggota bahagian pinggang serta tidak dapat mengawal proses membuang air kecil.

''Selain rawatan tradisional, rawatan daripada pakar baik pulih anggota juga perlu digunakan bagi membantu Shadan pulih daripada lumpuh,'' katanya yang turut menyampaikan wang raya.

Sementara itu, Shadan terharu dengan sumbangan Tengku Abdulah dan menganggapnya satu suntikan semangat untuknya sebagai ikhtiar memulihkan lumpuh yang dialaminya.

''Bantuan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga saya yang selama ini bersusah payah menjaga saya,'' katanya.

Beliau turut terharu dengan kehadiran beberapa rakan sepasukannya dahulu yang cukup bermakna baginya.

Turut hadir dalam kunjungan hari ini ialah Naib Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Jamal Nasir Ismail dan jurulatih Pahang, Fuzzeimi Ibrahim.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SooD8PWa © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan