Ahad, 4 Disember 2016

Mahkota liga milik Pahang

ARKIB : 20/06/1999
PAHANG mengesahkan Piala Liga Perdana Satu musim 1999 diarak pulang ke Kuantan manakala Kuala Lumpur menjadi pasukan terakhir dari Perdana Satu layak ke bola sepak Piala Malaysia selepas masing-masing beraksi cemerlang pada perlawanan terakhir liga, semalam.

Skuad Tok Gajah mengutip dua mata selepas mencatat kemenangan 6-5 dalam penentuan sepakan penalti ke atas Kedah apabila keputusan masa penuh terikat 1-1 di Stadium Darulaman, Alor Setar.

Kuala Lumpur mencatat kemenangan bergaya 2-0 ke atas Terengganu pada perlawanan di Stadium KLFA, Cheras.

Pencabar terdekat Pahang sebelum ini, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pula gagal memberikan saingan pada saat akhir apabila masing-masing menerima nasib berbeza.

Pulau Pinang hanya mampu mengutip dua mata menentang Perak apabila menang penentuan sepakan penalti 5-4 selepas kedudukan masa penuh di Stadium Bandaraya terikat 1-1.

Negeri Sembilan dirundung malang apabila dipaksa tunduk 2-3 kepada Brunei di Bandar Seri Begawan.

Dengan kedudukan itu, Terengganu, Brunei, Perak dan Kedah terpaksa beraksi dalam play-off dengan empat pasukan dari Perdana Dua iaitu Johor FC, Perlis, Kelantan dan Melaka untuk merampas tempat ke Piala Malaysia.

Kejayaan semalam sekali gus memastikan Tok Gajah yang dibimbing Fuzzeimi Ibrahim tidak mengulangi episod pahit musim lalu apabila menyerahkan mahkota juara kepada Pulau Pinang pada perlawanan terakhir liga.

Begitu pun, Pahang keresahan apabila Kedah mendahului 1-0 pada babak pertama menerusi jaringan Nurul Ahyat Elias seawal minit keenam tetapi penyerang utama Tok Gajah, Azizul Kamaluddin menyelamatkan pasukan apabila menyamakan kedudukan seminit selepas babak kedua bermula.

Kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan sehingga tamat perlawanan yang memaksa penentuan sepakan penalti.

Biarpun gagal mempertahankan gelaran juara, skuad Harimau Kumbang mengubat sedikit kekecewaan apabila muncul naib juara selepas saingannya Negeri Sembilan kecundang di Brunei.

Dalam aksi di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang lebih dulu membuka jaringan menerusi penyerang Hasmawi Hassan yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-27 sebelum perancang tengah Perak, Azrul Amri Burhan menyamakan kedudukan menerusi tandukan kencang minit ke-57.

Bagaimanapun, pasukan tuan rumah berjaya mengutip satu lagi mata bonus apabila menang 5-4 pada penentuan penalti.

Di Stadium KLFA, Cheras, Azmir Nor Hakim Burhan dan Mohd. Farid Dewan meletakkan Kuala Lumpur bersama-sama senarai enam pasukan yang layak ke Piala Malaysia secara automatik selepas jaringan masing-masing pada minit ke-12 dan 50 membantu pasukan warga kota menewaskan Terengganu 2-0.

Di Stadium Sarawak, pasukan tuan rumah yang telah layak ke Piala Malaysia seri 2-2 dengan Sabah tetapi tewas 2-4 dalam penentuan sepakan penalti.

Gol-gol Sarawak pada masa penuh dijaringkan Mohd. Nazri Yunus pada minit ke-45 dan Mohd. Safri Amit (90) manakala Sabah membalas melalui David Rocastle (46 dan 88).

Di Stadium Berakas, Bandar Seri Begawan, Negeri Sembilan yang mengharapkan kemenangan besar untuk memintas Pahang sebaliknya kecundang 2-3 kepada Brunei.

Begitu pun, Negeri Sembilan lebih dulu mengejutkan pasukan tuan rumah menerusi jaringan pemain tengah, Ahmad Shahrulazhar Sofian pada minit ke-28 tetapi pemain import, Mohd. Brian Iman menyamakan kedudukan pada minit ke-41.

Skuad Rusa kembali mendahului apabila penyerang kebangsaan, Zami Mohd. Nor menyumbat masuk gol kedua pada minit ke-58.

Fadlin Gelawat kembali menceriakan penyokong tuan rumah apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-60 sebelum Brian sekali lagi meledakkan jaringan kemenangan empat minit kemudian.

Kemenangan Brunei bagaimanapun kurang memberi makna tetapi mereka mempunyai peluang untuk merebut tempat ke Piala Malaysia menerusi play-off.

Sebaliknya, kekalahan Negeri Sembilan menyaksikan peluang mereka untuk sekurang-kurangnya merebut tempat selaku naib juara liga musnah.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RvQM0PHQ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan