Jumaat, 9 Disember 2016

Pahang melangkah semakin hebat, KL nampak parah

ARKIB : 04/10/1999
BUAT pasukan lain, Piala Malaysia dan Liga Perdana mungkin berbeza tetapi Pahang pantas membuktikan andaian itu jauh meleset dengan terus menerajui kumpulan B selepas tiga perlawanan, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Meyakinkan dan memanjang, demikian langkah juara Perdana Satu ini dan kejayaan tipis 1-0 di Brunei mengesahkan hakikat itu.

Rekod tanpa kalah Tok Gajah masih utuh malah persembahan konsisten turut terpapar pada jumlah jaringan setakat ini dan kadar bolosannya masih di tahap rendah.

Sebaliknya adegan yang tidak diingini menyebelahi jiran kumpulan, juara Piala FA, Kuala Lumpur dan penyandang Perdana Dua, Johor.

Ketika Tok Gajah kian mara dengan langkah tepat seorang juara, Helang ibu kota semakin parah mengusung luka akibat malang yang bertimpa-timpa.

Barisan warga kota masih kempunan untuk menikmati sebarang mata lalu kemarau kemenangan itu terasa seakan berpanjangan untuk diakhirinya.

Anak buah Mat Zan Mat Aris ini mensia-siakan kelebihan seorang pemain untuk sekurang-kurangnya pulang dengan satu mata terutama bagi tempoh 12 minit terakhir.

Namun sedikit tuah turut memainkan peranan kelmarin apabila cuma rembatan jarak jauh Ramos Sari mampu mencairkan kekebalan benteng lima pemain Kuala Lumpur.

Dengan menduduki tangga kedua tercorot kumpulan, nasib Johor tidak jauh bezanya biarpun wujud tentangan habis-habisan Jengking sebelum mengizinkan kemenangan sulung Sabah 3-2.

Sementara itu, peranan teraju kumpulan A berpindah tuan akibat pemulihan serta-merta Terengganu dan dibantu dengan kejatuhan Selangor di Shah Alam, kelmarin.

Biarpun meraih mata penuh dengan gol tunggal Mohd. Noor Derus ke atas Perak, skuad Penyu ternyata menunjukkan petanda pemulihan sesudah diratah 1-5 oleh Pulau Pinang, Selasa lalu.

Bagi Selangor, kecundang kepada pasukan tetangga, Negeri Sembilan 1-2 sesungguhnya pedih untuk ditanggung terutama apabila penyokong Red Giant sudah mulai terpujuk untuk bertandang ke Stadium Shah Alam.

Sejumlah peluang keemasan disia-sia sebaliknya kelekaan minit terakhir menghukum Selangor sekali gus akur untuk menghadiahkan kemenangan sulung Negeri.

Menerusi jaringan kemenangan, penyerang Azmi Mohamed ternyata melenyapkan keraguan ramai peminat skuad Rusa yang timbul sejak prestasi hambar pasukan itu di Seremban ketika menentang Perlis, Selasa lalu.

Naib juara Perdana Satu, Pulau Pinang dilanda prestasi yo-yo dan keadaan itu ketara apabila bertandang ke Perlis biarpun Selasa lalu, mencipta rekod jaringan terbesar Piala Malaysia musim ini.

Sesuatu yang pahit untuk ditelan Pulau Pinang jika kecundang dalam 90 minit kepada pasukan bertaraf keempat Perdana Dua malah sekadar layak ke Piala Malaysia menerusi play-off.

Mujur sentuhan emas Azman Adnan menjadi penyelamat Harimau Kumbang walaupun akhirnya tewas akibat penentuan penalti 6-7 dan kehilangan dua mata.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4SOVcJMA9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan