Selasa, 13 Disember 2016

Saravanan antara tujuh pemain sertai skuad Pahang

ARKIB : 27/12/1999
KETUA pasukan Kuala Lumpur, P. Saravanan adalah antara tujuh pemain baru Pahang yang menandatangan kontrak dengan Persatuan Bola sepak Negeri Pahang (PBNP) semalam.

Kontrak itu akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2000.

Selain Saravanan pemain lain yang menandatangani kontrak untuk mewakili Pahang ialah Shahrin Abdul Majid, Tuan Kamree Tuan Yahya, Badrul Afzan Razali, Zulkifli Mohd. Yusoff dan Azrul Hissyam Md. Yusoff.

Pemain tengah Johor, Idris Karim akan hanya menandatangan kontraknya sebaik pulang dari Dubai mewakili pasukan kebangsaan.

Antara syarat yang tertera pada perjanjian itu ialah setiap pemain tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan tentang masalah dalaman persatuan pada bila-bila masa.

Selain itu perjanjian tersebut akan terbatal jika selepas pemeriksaan perubatan dijalankan mendapati para pemain tidak sihat atau mengambil dadah dan menghidap AIDS.

Pahang kehilangan pemain sayap utamanya, Sharulnizam Sahat yang dikatakan akan berhijrah ke Perak pada musim depan.

Pemain musim lalu yang digugurkan ialah Alif Rohaimin, Tuan Rosli Tuan Shaari, Baharuddin Abdullah, Darul Nazri Daniyan, Za Zakaria, Nizamudin Abdul Ghani dan Khairul Anuar Karim.

Penjaga gol, Muadzar Mohamad dan Mohd. Ali Tahar yang belum pulih daripada pembedahan lutut dan tumit turut diberi peluang untuk terus berkhidmat untuk Pahang.

Bagaimanapun pada musim depan skuad Tok Gajah akan mempunyai empat penjaga gol termasuk Zuraimi Hassan, Muadzar serta dua muka baru iaitu Azihan Kamaluddin dan Azrul Hisyam.

Naib Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Jamal Abdul Nasir Ismail akan menjadi Pengurus Pasukan Pahang.

Selain itu, dia juga menjadi pengurus kepada pasukan Liga Simpanan dan pasukan-pasukan bawah 18 dan 15 Pahang.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SnDWzZtS © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan