Selasa, 9 Mei 2017

Tok Gajah perlu bangun segera

ARKIB : 14/02/2005
KUANTAN - Barisan pemain Tok Gajah diingatkan supaya tidak lagi dibuai mimpi yang indah setelah juara Liga Super tahun lalu itu kecundang berturut-turut dalam dua perlawanan Liga Super 2005.
Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan berkata, anak-anak buahnya itu perlu bangkit semula setelah mempamerkan persembahan yang buruk menentang Perlis kelmarin yang menyaksikan Pahang tumpas 1-0 di gelanggang sendiri.
Menurutnya, tugas berat menanti beliau untuk mengembalikan keyakinan anak-anak buahnya yang seperti hilang punca dan tidak mempamerkan mutu permainan bola sepak yang sebenar.
``Banyak yang perlu dilakukan, masalah ini cukup serius. Saya perlu duduk bersama pemain untuk bertanya secara individu apa masalah mereka sebenarnya sehingga gagal bermain seperti biasa,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perlawanan antara Pahang menentang Perlis tamat di Stadium Darul Makmur, Kuantan, kelmarin.
Zainal memberitahu, kegagalan para pemain Pahang memanfaatkan peluang yang terbuka di hadapan pintu gol amat mengecewakannya.
Jelas beliau, corak permainan yang mudah diramal di samping cubaan-cubaan liar yang ternyata tidak menemui sasaran telah menyebabkan pasukan lawan mudah mengambil kesempatan di atas kepincangan yang berlaku.
Kekalahan berturut-turut kepada Pulau Pinang dan Perlis cukup memalukan apatah lagi Tok Gajah yang memegang status sebagai juara Liga Super tahun lalu.
``Jangan fikir anda juara dan merupakan pemain kebangsaan, pasukan lain tidak mampu untuk menewaskan anda,'' tegasnya.
Zainal berkata, anak buahnya kini perlu bermula daripada kosong bagi membentuk semula sebuah pasukan yang mantap untuk meneruskan kempen Liga Super.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata, permainan barisan pemain Tok Gajah cukup mengecewakan.
``Mereka gagal untuk menyerlah dan corak permainan yang mudah dibaca lawan telah menjadi punca kekalahan Pahang,'' katanya.
Bagaimanapun, beliau meminta supaya para pemain Pahang tidak dihukum terlalu awal memandangkan masih banyak lagi perlawanan yang bakal dihadapi oleh Tok Gajah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan