Jumaat, 5 Mei 2017

Saravanan dapat tawaran selepas pembedahan

ARKIB : 26/12/2004
KERISAUAN penyerang kebangsaan, V. Saravanan mengenai untung nasibnya musim depan akibat kecederaan yang memaksa dia berehat selama enam bulan terjawab semalam apabila Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) mengesahkan menawarkan tempat buat pemain itu musim depan.
Saravanan yang baru menjalani pembedahan di lutut kanan kelmarin dan kini berada di wad 761 Hospital Gleneagles Jalan Ampang memberitahu, dia dijangka menandatangani kontrak setahun dengan juara Liga Super itu pada 3 Januari ini.
Ujarnya, pihak PBNP telah menghubungi dia lewat hari ini dan menyatakan persetujuan untuk menawarkan kontrak menyarung jersi Pahang musim depan walaupun dia tidak akan bermain selama enam bulan.
Tawaran itu buat Saravanan bagaikan `mati hidup semula' selepas kecederaan serius ke atas lutut kanan, dia merasakan tidak ada pasukan yang mahu menawarkan tempat untuknya.
``Saya ucapkan terima kasih kepada Timbalan Presiden PBNP Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan jurulatih Zainal Abidin Hassan yang masih memberi kepercayaan kepada saya.
``Saya sendiri tidak sangka Pahang sanggup memberi kepercayaan kepada saya walaupun saya tidak akan beraksi selama enam bulan selepas pembedahan ini,'' katanya ketika dihubungi semalam.
Saravanan menjalani pembedahan selama lima jam di lutut kanannya ekoran daripada kecederaan yang dialaminya sewaktu membantu Malaysia menewaskan Thailand 2-1
untuk mara ke separuh akhir Piala Tiger.
Akibat daripada itu, Saravanan terpaksa disisihkan daripada skuad bola sepak kebangsaan mengharungi saingan pertama separuh akhir Piala Tiger bertemu Indonesia di Stadium Utama Senayan pada 28 Disember ini.
Mengulas lanjut Saravanan berkata, dia dijangka pulih sepenuhnya dan akan beraksi semula pada Jun tahun depan.
``Selepas pembedahan ini, saya akan menjalani rawatan sampingan di Wisma FAM dan hospital Gleneagles.
``Jika rawatan yang saya jalani berjalan lancar ada kemungkinan saya boleh beraksi awal,'' ujarnya.
Sambil itu Saravanan akan mendoakan kejayaan skuad bola sepak kebangsaan berdepan dengan Indonesia pada 28 Disember ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan