Isnin, 22 Mei 2017

Aksi Syazwan bayangi Davies

Share

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kelincahan pemain sayap Kedah, Syazwan Zainon (gambar) nyata menjadi bayangan ngeri buat ketua pasukan Pahang, Matthew Davies apabila mengakui gagal menjalankan tugasnya merantai pergerakan pemain itu yang membantu Lang Merah muncul juara Piala FA buat kali keempat.
Davies yang beraksi di pertahanan kanan menjelaskan, gol pertama Kedah menerusi Ken Ilso berpunca daripada gerakan pantas Syazwan di sebelah tepi yang kemudiannya menyilangkan hantaran kepada Ilso untuk menanduk mudah menewaskan penjaga gol Tok Gajah, Wan Azraie Wan Teh.
“Dia (Syazwan) amat laju dan pemain yang licik. Saya akui gol pertama mereka itu berpunca kesalahan saya kerana terlalu memberi ruang kepadanya.
“Apa yang pasti, kami perlu segera melupakan kekalahan ini dan bangkit pada aksi Liga Super menentang Selangor, Rabu ini,” ujar pemain naturalisasi dilahirkan di Australia itu.
“Saya akui amat kecewa dengan kekalahan ini kerana kami berusaha keras daripada awal saingan Piala FA untuk melangkah ke pentas akhir malam ini (kelmarin).
“Namun, ini adalah adat bola sepak kerana pasti ada pasukan yang akan kecewa pada aksi final,” kata pemain kebangsaan berusia 22 tahun itu.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2017 @ 10:26 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan