Selasa, 23 Mei 2017

Aksi Selangor, Pahang curi perhatian



ARKIB : 23/02/2005
Oleh Amran Mulup 
KUALA LUMPUR - Kancah saingan Piala FA pusingan pertama bermula malam ini, tetapi tumpuan sudah pasti kepada pertembungan dua gergasi bola sepak, Selangor bertemu Pahang di Stadium Shah Alam.

Pertembungan kedua-dua pasukan yang diibaratkan seperti perlawanan akhir Piala FA kini hangat diperkatakan untuk melihat sama ada Selangor atau Pahang lebih gagah.

Tidak dinafikan daripada 13 perlawanan yang berlangsung serentak hari ini, aksi dua pasukan tersebut menjadi tumpuan.

Pertembungan Selangor dan Pahang, dua buah pasukan yang dibarisi barisan pemain bergelar bintang merancakkan saingan awal Piala FA.

Apa yang lebih penting pertembungan kedua-dua pasukan itu bakal mencuri perhatian di kalangan peminat kedua-dua pasukan yang dijangka memenuhi setiap ruang di Stadium Shah Alam.

Melihat reputasi terkini Selangor yang mengungguli saingan Liga Perdana Kumpulan A manakala Pahang berada di tempat ketiga Liga Super menjanjikan lebih 40,000 penyokong akan terhibur dengan aksi bermutu daripada kedua-dua seteru itu.

Ini juga akan menjadi titik tolak kepada kebangkitan peminat untuk kembali semula ke stadium dan menghangatkan lagi saingan Liga Malaysia yang sepi sejak kebelakangan ini.

Kehangatan kedua-dua pasukan dengan Selangor selaku juara Piala FA pada 1991, 1997 dan 2001 dianggap memiliki barisan pemain terbaik setakat ini dengan bintang import Bambang Pamungkas, Ellie Aboy dan Brian Fuentes.

Trio import skuad Merah Kuning kini menjadi igauan pasukan lawan daripada tiga perlawanan Liga Perdana dalam Kumpulan A. Selangor sudah menjaringkan 14 gol dengan Fuentes mencipta hatrik sebanyak dua kali.

Buat Selangor, bertemu Pahang adalah lawan sebenar mereka selepas tiga perlawanan Liga Perdana. Langkah skuad Merah Kuning bagaikan sukar disekat selepas mereka membenam Melaka (4-1), TNB Kelantan (6-1) dan Kuala Lumpur (4-1).

Kehebatan Pahang yang diterajui oleh Zainal Abidin Hassan pula tidak dinafikan sebagai pasukan yang cukup mantap dan adalah lawan sebenar buat Selangor.

Pahang yang setakat ini belum menggenggam gelaran juara Piala FA turut memiliki pemain berstatus bintang seperti ketua pasukan kebangsaan, Rosdi Talib, Indra Putra Mahayuddin, Norhafiz Zamani Misbah, Hairuddin Omar dan Irwan Fadzli Idrus.

Pahang pula juara Liga Super musim lalu yang dikecewakan di peringkat separuh akhir Piala FA musim lalu kini menduduki tangga ketiga Liga Super.

Perlawanan lain yang turut menjadi perhatian ialah Negeri Sembilan menentang naib juara Piala Malaysia musim lalu, Kedah di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi; Pulau Pinang berdepan Sarawak di Stadium Bandaraya dan juara tahun lalu, Perak bertemu wakil kelab MPSJ Selangor di gelanggang sendiri.

Dalam pada itu, Jenderata Perak akan bertemu MK Land di Stadium TLDM, Lumut malam esok.

Juara Piala Malaysia musim lepas, Perlis yang mendapat bye pada majlis undian Disember tahun lalu akan bertemu TNB Kelantan pada pusingan kedua nanti.

Saingan pusingan kedua Piala FA dijadualkan berlangsung pada 18 Mei.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4huqyVfiu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan