Sabtu, 27 Mei 2017

Kemelut Pahang, Perak selesai



ARKIB : 09/03/2005

Oleh AMRAN MULUP
 KUALA LUMPUR - Pemain bola sepak Pahang dan Perak yang dikecualikan daripada turun menjalani latihan di peringkat awal ini sesi latihan skuad kebangsaan akan mula melapor diri di Wisma FAM pada 20 Mac ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Redzuan Sheikh Ahmad berkata, sejumlah 11 pemain kedua-dua pasukan terbabit akan mula melapor diri selepas Pahang dan Perak mengharungi dua perlawanan Kejohanan Piala AFC pada 9 dan 16 Mac ini.

Menurutnya, selepas daripada tarikh tersebut semua pemain daripada kedua-dua pasukan diwajibkan melapor diri dan mengikuti sesi latihan persiapan skuad kebangsaan untuk menyertai Sukan Perpaduan Islam di Arab Saudi bulan depan.

``Ini adalah keputusan yang diambil selepas rundingan dengan kedua-dua pasukan bagi menyelesaikan sedikit salah faham yang wujud,'' ujarnya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ahad lalu, seramai 30 pemain tidak membabitkan 11 pemain Perak dan Pahang mula melapor diri sebagai persiapan rapi ke Arab Saudi.

Ekoran daripada itu timbul rasa tidak puas hati jurulatih Bertalan Bicskei dan Naib Presiden FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad dengan sikap persatuan bola sepak negeri Perak dan Pahang tidak melepaskan pemain mengikuti sesi latihan skuad kebangsaan Ahad lalu.

Bagi Kejohanan Sukan Perpaduan Islam pada 8 hingga 20 April ini, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan C bersama-sama Maghribi, Kuwait dan Pakistan.

Mengulas lanjut Redzuan menjelaskan, mesyuarat Exco FAM sebelum ini telah memutuskan pemain Perak dan Pahang yang terlibat dalam Kejohanan Piala AFC diberi kelonggaran tidak melapor diri pada sesi latihan awal skuad kebangsaan ke Arab Saudi.

Ujarnya, mereka hanya boleh melapor diri selepas kedua-dua pasukan mengharungi dua perlawanan peringkat awal Piala AFC.

``Sepatutnya tidak timbul sebarang masalah ini mungkin salah faham, FAM turut memikirkan perjuangan Perak dan Pahang di Piala AFC penting sebab itu kita bagi pelepasan.

``Tetapi selepas daripada Piala AFC kedua-dua pasukan itu akan bermain balik pada bulan depan, semasa tempoh itu membolehkan pemain Pahang dan Perak turun menjalani latihan seperti yang dikehendaki oleh jurulatih Bertalan Bicskei,'' ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan dengan penjelasan ini tidak timbul sebarang masalah salah faham berhubung persiapan skuad bola sepak kebangsaan.

Dalam pada itu kata Redzuan lagi, Bicskei dibenarkan untuk memanggil beberapa pemain lain bagi mengisi kekosongan ekoran ketiadaan 11 pemain Pahang dan Perak dalam kem latihan skuad kebangsaan.

``Mungkin ada peluang pemain baru mendapat pendedahan dan mencungkil bakat,'' ujarnya lagi.

Dalam Kejohanan Piala AFC, Perak selaku juara Piala FA musim lalu diletakan dalam Kumpulan D bersama-sama Sun Hei (Hong Kong), Tampines (Singapura) dan Valencia (Maldives).

Manakala Pahang juara Liga Super berada dalam Kumpulan D bersama-sama Happy Valley (Hong Kong), Home Utd (Singapura) dan New Radiant (Maldives).

Redzuan berkata, beliau faham Bicskei mahukan pemain kedua-dua pasukan turun menjalani latihan bersama-sama 30 pemain lain agar dapat mewujudkan persefahaman.

Beliau yakin, pemain Perak dan Pahang yang akan melapor diri pada 20 Mac ini akan mampu dapat mewujudkan persefahaman mantap.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iGj1J0Q8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan