Ahad, 7 Mei 2017

Pahang terus beri ancaman



 
ARKIB : 02/02/2005
Pahang terus beri ancaman
PEMAIN MPPJ Selangor, Sebastian Omar Monesterolo (kanan) berjaya melepaskan diri daripada terjahan pemain Perlis, Mohd. Khairi Zainuddin dalam perlawanan Liga Super di Petaling Jaya semalam. Perlis menang 3-2. - Gambar SAHARUDDIN ABDULLAH.

KOTA KINABALU - Juara bertahan, Pahang mengekalkan rekod bersih dalam persaingan bola sepak Liga Super apabila menundukkan Sabah 2-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu dalam perlawanan yang dihiasi aksi kasar.

Indra Putra Mahayuddin membuktikan dirinya masih penyerang berbahaya apabila sentuhannya memberikan gol pertama seawal minit ketiga dan kemudian menambah satu lagi pada minit ke-63.

Penonton di stadium dihidangkan dengan aksi-aksi `panas' oleh pemain kedua-dua pasukan sehingga memaksa pengadil dari Pulau Pinang, Subkhiddin Mohd. Salleh melayangkan empat kad kuning kepada Sabah dan dua kepada Pahang.

Kemenangan itu membolehkan Pahang mengutip enam mata setelah menang 3-2 ke atas MPPJ Selangor pada hari pembukaan liga Sabtu lepas.

Bagi Sabah pula, kekalahan itu merupakan yang kedua selepas mereka kalah 3-0 kepada Pulau Pinang Sabtu lepas.

Di Stadium Perak, Ipoh, tuan rumah, Perak mencipta kemenangan tipis 1-0 ke atas Public Bank Selangor.

Juara Sumbangsih itu memperoleh gol daripada pemain import, Keita Mandjou yang menanduk masuk sepakan sudut K. Yo-ganathan pada minit ke-64.

Ia adalah kemenangan pertama Perak selepas seri dengan Perlis dalam perlawanan sumbangsih Sabtu lepas.

Sementara itu di Stadium Petaling Jaya, juara Piala Malaysia musim lalu, Perlis menebus kehampaan selepas gagal menjulang Piala Sumbangsih empat hari lalu dengan menumbangkan MPPJ Selangor 3-2.

Kemenangan bergaya skuad Singa Utara itu menebus kekecewaan tumpas 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Perak Sabtu lalu.

Perlis ketinggalan dua kali sebelum menyamakan kedudukan 2-2, dan penyerang import, Zacharia Simukonda muncul wira dengan jaringan kemenangan pada minit ke-83.

Dua gol pertama Perlis dijaringkan oleh Zainuddin Mohd. Ariffin pada minit ke-36 dan Muhd. Lamin Conteh pada minit ke-56.

Gol-gol MPPJ pula dijaringkan oleh Mohd. Fareed Dewan pada minit ke-12 dan Sebastian Omar Monesterolo pada minit akhir babak pertama.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, Pulau Pinang menunduk-kan Melaka Telekom 1-0 hasil jaringan Viatcheslav Melnikov pada minit ke-41 menerusi rembatan leret dari jarak 10 meter.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4gOKGxp9e
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan