Ahad, 28 Mei 2017

Pahang mula tunjuk taring



ARKIB : 28/04/2005

Oleh AMRAN MULUP
 KUALA LUMPUR - Pahang kembali merampas kedudukan takhta pendahulu Liga Super daripada genggaman Perlis jelas menghangatkan saingan untuk menamatkan saingan pusingan kedua.

Kemenangan bergaya 4-1 ke atas Pulau Pinang dengan jaringan menerusi ketua pasukan Hairuddin Omar, Rosdi Talib serta dua gol daripada pemain import dari Cameroon, Bernard Tchoutang mengembalikan semula kekuatan skuad Tok Gajah.

Begitupun kedudukan Pahang masih belum selamat sekadar dipisahkan dengan perbezaan gol menjadi milik skuad bimbingan jurulatih Zainal Abidin Hassan buat memintas Perlis walaupun masing-masing terikat dengan 20 mata.

Buat Perlis yang mengidam untuk mengekalkan reputasi selaku pendahulu jelas tidak kesampaian.

Sekalipun mencatat kemenangan selesa 5-0 ke atas Sabah di Kangar pada pusingan pertama tetapi mereka mendapati skuad badak jelas sudah berubah.

Kegarangan awal mereka sebelum ini mudah dinafikan oleh skuad Sabah yang membariskan sebahagian besar pemain muda untuk mencatat kemenangan mudah 2-0 di Likas.

Kekalahan skuad Singa Utara jelas tamparan hebat buat juara Piala Malaysia musim lalu itu terpaksa melepaskan tampuk pendahulu kepada Pahang.

Ketika Pahang dan Perlis bersaing hebat untuk memburu gelaran Liga Super musim ini, Public Bank pula kian merapatkan diri.

Kecemerlangan Public Bank meleburkan impian bekas juara Piala Malaysia 2003, MPPJ dengan kemenangan bergaya 4-2 meletakkan pasukan itu di tangga keempat terikat 16 mata dengan Pulau Pinang di tempat ketiga.

Buat Pulau Pinang pastinya tidak tidur malam selepas tunduk mudah 1-4 kepada Pahang sekali gus kekalahan itu menjarakkan diri mereka untuk bersaing dengan Pahang dan Perlis.

Dalam pada itu juara Piala FA musim lalu, Perak terus tersisih untuk berada dalam kelompok tangga terbawah liga.

Masalah ketumpulan jentera serangan terus menghantui skuad Seladang untuk memburu kemenangan berdepan dengan Telekom hanya mampu memahatkan keputusan seri 0-0 di Stadium Perak.

Jika Perak berterusan mengalami kekalahan sudah pastinya mereka bakal beraksi di Liga Perdana musim depan.

Sabah yang memulakan aksi serba tidak menentu di awal musim mula menunjukkan sengat menjinakkan Perlis di gelanggang sendiri memberi petanda akan kebangkitan skuad Badak untuk terus mengelakkan diri daripada terjerumus di tangga terbawah liga.

Malang bertimpa buat MPPJ, kekalahan 2-4 merumuskan betapa mereka harus akur untuk berada di tangga terbawah liga sekadar mengutip tujuh mata.

Kedudukan ini begitu menyulitkan buat MPPJ yang membuat kejutan apabila menjadi satu-satunya pasukan berstatus kelab menjulang Piala Malaysia pada 2003 tetapi kini diambang kejatuhan.

Tidak banyak pilihan yang berada di tangan anak didik Reduan Abdullah perlu bangkit menamatkan saingan pusingan kedua sebelum mengharungi cabaran pusingan ketiga untuk sekurang-kurangnya mengelak daripada terjerumus ke Liga Perdana musim depan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0428&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iQRncytd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan