Jumaat, 5 Mei 2017

Pahang uji pemain import

ARKIB : 02/01/2005
PAHANG mula menguji empat pemain import dari Argentina dan Brazil bagi mengukuhkan kesebelasan utama sebagai persediaan menghadapi Liga Malaysia 2005.
Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Has-san berkata, setakat ini, dua pemain Brazil, Marcos Polaco dan Alex Rodrigo sudah pun memulakan latihan bersama skuad Pahang dan pihaknya kini sedang menanti dua lagi pemain import dari Argentina yang baru sahaja sampai di ibu negara, kelmarin.
``Hanya Rodrigo dan Polaco yang mengikuti latihan kita hari ini (semalam) manakala dua lagi pemain dari Argentina baru sahaja sampai dan kita beri masa kepada mereka untuk berehat sebelum diuji,'' katanya di Kuantan, Pahang, semalam.
Menurutnya, Pahang juga masih berminat untuk menyambung kontrak dengan pemain Australia, Simon Colo-simo yang beraksi cemerlang pada musim 2004.
Jelas beliau, buat masa ini, Colosimo meminta Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) memberinya masa kerana dia ingin mencuba nasib bermain dengan kelab-kelab bola sepak di Eropah.
``Jika Colosimo gagal mencari kelab yang sesuai di Eropah, dia berjanji untuk menimbangkan tawaran kita untuk bermain dengan Pahang bagi musim 2005 selewat-lewatnya minggu pertama dalam bulan ini,'' ujarnya.
Zainal berkata, sekiranya Colosimo kembali bersama skuad Tok Gajah, ini bermakna PBNP hanya akan membuka pintu kepada tiga pemain import untuk bermain dengan Pahang.
Setakat ini, Pahang telah pun menambat tiga pemain tempatan dari Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan untuk diserapkan ke dalam pasukan Pahang.
Mereka terdiri daripada pemain kebangsaan, Nurhafiz Zamani Misbah, V. Saravanan dan pemain muda dari Terengganu Tengku Adam Tengku Rosli.
V. Saravanan yang terpaksa berehat selama enam bulan setelah menjalani pembedahan akibat kecederaan yang dialaminya sewaktu beraksi dalam Piala Tiger hanya akan beraksi bersama Tok Gajah pada pertengahan tahun ini setelah benar-benar sembuh.
Menurut Zainal, Pahang kini giat menjalani latihan sebagai persiapan bagi menghadapi cabaran Liga Malaysia 2005 dan berharap anak-anak buahnya itu akan membuktikan kesungguhan untuk bermain dengan cemerlang bagi musim baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan