Jumaat, 19 Mei 2017

Tak sabar julang trofi sulung



Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Shah Alam: Penyerang Pahang Mohamadou Sumareh tidak sanggup menunggu lagi untuk menjulang kejuaraan apabila bertekad menjadikan pentas final Piala FA sebagai penamat penantian itu.

Tujuh tahun pemain import dari Gambia ini berkelana di Malaysia, ini kali pertama dia bakal merasai nikmat beraksi di perlawanan akhir.

“Ini final cukup istimewa, sudah tujuh tahun saya di sini, sebelum ini saya hanya mampu melangkah ke suku akhir, mungkin dua kali. Ini final pertama jadi saya mahu merasai bagaimana perasaan menjulang trofi,” katanya kepada Arena Metro pada sesi latihan terakhir Pahang di Stadium Shah Alam semalam.

Sumareh, 25, pemain lincah yang dipancing dari Perlis menjadi watak penting kemaraan Tok Gajah ke pentas final apabila muncul penjaring terbanyak pasukan dengan tiga gol termasuk jaringan penting menyingkirkan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di suku akhir menerusi agregat 4-3.

Malah jika Kedah memiliki Liridon Krasniqi sebagai pemain perancang, Pahang pula bakal mempertaruhkan kelincahan Sumareh untuk mengkucar-kacirkan permainan Helang Merah terutama menerusi serangan balas.

Sumareh berkata, dia tidak rela segala susah payah mereka melangkah ke final lebur di tangan Kedah.

Apatah lagi kejuaraan cukup penting buatnya bukan saja sebagai hadiah kepada penyokong, malah kepada rakan baiknya yang juga rakan sepasukan Matheus Alves yang menyambut hari lahir ke 24 kelmarin.

“Kami sudah bersedia, kami datang ke sini dengan satu cita-cita iaitu bergelar juara. Kami mahu mengambil trofi ini untuk penyokong yang banyak menyokong kami dan juga salah satu hadiah terbaik untuk Alves,” kata Sumareh yang turut pernah beraksi dengan Terengganu dan PDRM.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 4:23 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan