Ahad, 7 Mei 2017

Pahang hadapi ancaman Selangor

ARKIB : 24/01/2005
PETALING JAYA - Dua pasukan elit, Pahang dan Selangor diundi bertemu sesama sendiri dalam aksi pusingan pertama bola sepak Piala FA 2005, pertemuan paling menarik dan menjadi tumpuan utama di antara 13 perlawanan yang djadualkan, lapor Johari Shawal.
Sementara juara bertahan, Perak dijangka tidak berdepan masalah melepasi pusingan pertama apabila diundi bertemu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).
Perlawanan pertama pusingan pertama dijadual berlangsung 22 Februari ini manakala perlawanan kedua pada 18 Mei.
Pahang dibimbing Zainal Abidin Hassan dan Selangor oleh jurulatih baru, Dollah Salleh - kedua-duanya bekas pemain kebangsaan.
``Dari mula saya sudah agak, Selangor akan jumpa Pahang,'' kata Dollah sejurus selepas nama Selangor diumumkan menentang Pahang dalam undian itu.
Bagaimanapun Dollah tidak khuatir dengan undian pertemuan itu kerana mereka sudah bersedia untuk bertemu sesiapa sahaja.
``Ini memang tugas berat kami tetapi kami sudah membuat persiapan rapi akan terus membuat persiapan terbaik menjelang pertemuan itu nanti,'' kata Dollah yang membawa MPPJ menjulang Piala Malaysia pada 2003, gelaran pertamanya ketika menjadi jurulatih.
Selangor, juara Piala FA tiga kali dan 29 kali menjulang Piala Malaysia, akan bertandang ke Perth, Australia minggu ini untuk mengadakan dua perlawanan persahabatan terakhirnya.
``Memang ini satu undian yang sukar buat kami tetapi pertemuan ini juga baik untuk kami, untuk Selangor dan untuk penyokong serta peminat,'' kata Zainal.
Seperti Dollah, Zainal juga yakin dengan barisan anak buahnya.
``Kami sudah mengenal pasti kelemahan kami dan sudah memperbaikinya bukan sahaja untuk perlawanan ini (menentang Selangor) tetapi untuk semua perlawanan Liga Malaysia musim ini,'' katanya.
Pahang tidak pernah menang Piala FA sejak kempen ini dipertandingkan pada 1990. Mereka mara ke perlawanan akhir pada 1995 tetapi kecundang kepada Sabah 3-1.
Skuad Tok Gajah dianggap pasukan paling baik ketika ini apabila dibarisi sebahagian besar pemain kebangsaan termasuk ketua pasukan kebangsaan, Rosdi Talib, Mohd. Fadzli Saari, Norhafiz Zamani Misbah dan bekas pemain kebangsaan, Hairuddin Omar, Indra Putra Mahayuddin dan Irwan Fadzli Idrus.
Mereka muncul juara Liga Super musim lepas tetapi terkandas awal dalam kempen Piala FA dan Piala Malaysia.
Dalam pada itu Perak menyuarakan rasa bimbang dengan MPSJ yang tidak diketahui kekuatannya.
``Walaupun ramai yang berkata kami dapat laluan mudah, kami perlu berhati-hati kerana tidak banyak yang kami tahu tentang pasukan ini.
``Apa pun, kami akan berusaha sebaik mungkin untuk mempertahankan kejuaraan ini,'' kata pengurus pasukan Perak, Datuk Jamal Nasir Rasdi.
Perlawanan tumpuan lain ialah tiga perlawanan melibatkan antara dua pasukan negeri.
Juara 2003, Negeri Sembilan diundi bertemu juara 1996 dan naib juara Piala Malaysia musim lepas, Kedah.
Juara 2002, Pulau Pinang membuat perhitungan dengan juara 1992 manakala Melaka bertemu Kelantan.
Dalam pada itu dua pasukan mendapat bye pada pusingan pertama iaitu juara Piala Malaysia, Perlis dan TNB Kelantan.
Dua pasukan senegeri iaitu Johor dan Johor FC membuat perhitungan sesama sendiri.
Perlawanan pusingan kedua akan diundi selepas tamat pusingan pertama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan