Sabtu, 13 Mei 2017

Negeri Sembilan yakin mampu cipta kejutan ke atas Tok Gajah




Marko SIMIC menjalani latihan kecergasan sewaktu sesi latihan
Marko SIMIC menjalani latihan kecergasan sewaktu sesi latihan
MARKO SIMIC menjalani latihan kecergasan sewaktu sesi latihan pasukan Negeri Sembilan di Padang UiTM, Seremban semalam untuk persediaan menentang Pahang. - UTUSAN/Aswad Yahya

Nazarudin Shahari

13 Mei 2017 3:00 A

SEREMBAN 12 Mei – Negeri Sembilan akan memanfaatkan setiap saat dalam 90 minit permainan separuh akhir kedua Piala FA malam esok di gelanggang sendiri dalam usaha mencipta kejutan ke atas gergasi Liga Super, Pahang bagi mencapai cita-cita layak ke perlawanan akhir.

Ketua jurulatih Mohd. Asri Ninggal berkata, walaupun ke­tinggalan 1-0 secara agregat kepada Pahang, kedudukan itu tidak melemahkan semangat Negeri Sembilan untuk mengubah nasib mereka.

“Ya, di atas kertas, Pahang mempunyai kelebihan satu gol ke atas kami tetapi kita mesti ingat ada 90 minit lagi yang membuka peluang sekiranya kita memberi tumpuan penuh kepada permainan.

“Kami akan bermain bersungguh-sungguh, kena ada keyakinan dan kesungguhan sebab apabila kita sudah sampai di separuh akhir, kita tidak boleh pilih pasukan lawan,” katanya ketika ditemui di padang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban di sini hari ini.

Beliau sebelum itu mengendalikan latihan terakhir pasukan bersama Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Jorg Peter Steinebrunner sebelum perlawanan malam esok.

Dalam separuh akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 30 April lalu, Pahang menewaskan Negeri Sembilan 1-0 menerusi gol sendiri pemain Ne­geri Sembilan, Annas Rahmat pada minit ke-81.

Negeri Sembilan pernah me­rangkul Piala FA pada 2003 dan 2010.

Asri berkata, dia percaya walaupun perlawanan itu adalah antara pasukan Liga Perdana menentang gergasi Liga Super, namun Negeri Sembilan mampu memberi saingan sengit di Stadium Tuanku Abdul Rahman yang dijangka penuh dengan penyokong tuan rumah.

Beliau mengakui prestasi pa­sukan Negeri Sembilan agak merosot dalam beberapa perlawanan terakhir Liga Perdana yang menyaksikan pasukan itu hanya seri dengan Perlis dan ATM yang masing-masing berada di kedudukan terbawah liga.

“Kami bermain dengan baik tetapi tindakan penyudah yang agak tumpul. Kelemahan ini telah dikenal pasti dan kami cuba atasi sebelum turun malam esok,” ujarnya.

Mengenai penjaring utama skuad itu, Bruno Suzuki yang dibelenggu kecederaan, katanya pemain itu telah pulih dan dijangka dapat diturunkan dalam kesebelasan utama.

Suzuki, 26, rakyat Brazil keturunan Jepun telah dipilih sebagai Pemain Terbaik Bulanan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia bagi Februari 2017 dan telah menjaringkan tujuh gol setakat ini.

Selain Suzuki, Negeri Sembilan juga menaruh harapan kepada dua lagi pemain importnya iaitu Lee Andrew Tuck, 28, dari England dan Marko Simic, 28, dari Croatia.
sumberArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/negeri-sembilan-yakin-mampu-cipta-kejutan-ke-atas-tok-gajah-1.480523#ixzz4gxLPzkIh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan