Ahad, 7 Mei 2017

P.Pinang kejutkan Pahang

ARKIB : 06/02/2005
PULAU PINANG - Penyerang dari Rusia, Viatcheslav Melnikov muncul wira yang memastikan Pulau Pinang terus menguasai aksi awal bola sepak Liga Super setelah mengejutkan skuad elit, Pahang dengan kemenangan 3-2 di Stadium Bandaraya, semalam.
Melnikov menyambar sepakan sudut pemain dari Jepun, Ito Dan untuk menyepak masuk sekali gus menyempurnakan kebangkitan Pulau Pinang.
Juara bertahan, Pahang dua kali mendahului menerusi pemain tengah kebangsaan, Mohd. Fadzli Saari pada minit kesembilan dan Indra Putra Mahayuddin 10 minit kemudian tetapi setiap kali berjaya disamakan oleh tuan rumah masing-masing menerusi Jose Marcio Barreto pada minit ke-10 dan tandukan cantik Ng Kok Heng pada minit ke-44.
Di Stadium Utama, Kangar, Mohd. Lamin Al-Hidayah menjaringkan dua gol ketika tuan rumah Perlis membelasah Sabah 5-0.
Mohd. Lamin menemui sasaran pertama seawal minit ketiga untuk gol sulung Perlis.
Sabah, yang kini kalah kesemua tiga perlawanannya, tambah tertekan apabila Mazlan Emoi dilayangkan kad merah pada minit ke-37 kerana mengkasari Mohd. Feriza Ismail lantas memudahkan tugas skuad juara Singa Utara.
Pemain kebangsaan, Mohd. Ivan Yusoff menambah gol kedua pada minit ke-50 sebelum enam minit kemudian Mohd. Lamin sekali lagi membuat sentuhan gol.
Dua lagi gol dijaringkan oleh Zacharia Simukonda pada minit ke-65 dan Manzoor Azwira Wahid pada minit ke-83.
Perlis kini mengumpul tujuh mata untuk menduduki tangga kedua, dua mata di belakang Pulau Pinang.
Juara perlawanan Sumbangsih, Perak pula terjerumus di Stadium Hang Jebat di Melaka apabila tumpas 3-0 kepada Telekom Melaka.
Tambah memeritkan Perak apabila pemainnya, V. Thirumurugan dibuang pada ketika permainan berbaki 10 minit.
Telekom memperoleh gol pertama menerusi Tengku Hasbullah Raja Hassan pada minit ke-26 dan kesilapan penjaga gol, Hamsani Ahmad membaling bola kepada lawan menyaksikan gawangnya dibolosi oleh Khairulzal Azmi Zainuddin yang melakukan percubaan pada minit ke-44 dan gol ketiga dijaringkan pada minit ke-89 oleh Mohd. Nizam Abu Bakar.
Ivan Ziga muncul hero apabila menjaringkan gol tunggal untuk membantu Public Bank mencatat kemenangan pertama dengan menewaskan MPPJ Selangor 1-0 di Stadium Shah Alam.
Gol tersebut dihasilkan daripada sepakan bebas di luar kotak penalti diambil oleh Ziga yang mengenai palang gol dan melantun masuk menewaskan penjaga gol MPPJ, Mohd. Yazid Mohd. Yassin pada minit ke-14.
Public Bank sebelum ini tewas dua perlawanan awal kepada Telekom Melaka 2-1 dan Perak 1-0 minggu lalu manakala bagi MPPJ, ia adalah kekalahan ketiga berturut-turut selepas tunduk 3-2 kepada Pahang dan Perlis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan