Isnin, 29 Mei 2017

Pahang terus lepas peluang



 
ARKIB : 08/05/2005
Pahang terus lepas peluang
Pemain Perak, Harizul Izuan Abd. Rani (kiri) cuba dihalang oleh pemain Sabah Mohd. Arsyahh Mohd. Ayob dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak, semalam. Perak menang 2-0.

KUALA LUMPUR - Pahang terus dirundung malang apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Telekom Melaka dalam perlawanan Liga Super di Stadium Hang Tuah, semalam.

Jika tidak kerana Pulau Pinang tewas 3-2 kepada MPPJ Selangor, Pahang sudah pasti tersingkir ke tangga ketiga liga.

Kemerosotan yang ditunjukkan Pahang sejak kebelakangan ini tampak berterusan tetapi bermula agak baik semalam dengan mendahului menerusi Rosdi Talib pada minit ke-17.

Bagaimanapun Telekom Melaka bangkit di babak kedua untuk menyamakan kedudukan menerusi Njoh Njoh Mpondo Alain pada minit ke-63.

MPPJ pula menyekat hasrat Pulau Pinang untuk mengutip tiga mata penuh apabila menang 3-2 di Stadium Bandaraya.

Meskipun tuan rumah menguasai permainan pada babak pertama, namun kebuntuan mencari gol hanya diperoleh pada minit ke-41.

Itu pun hasil sepakan percuma yang diberikan pengadil, Ahmad Khalidi Supian setelah pertahanan pasukan pelawat menjatuhkan Mohd Faizal Eshar di luar kotak penalti.

Penjaga gol Selangor MPPJ, Mohd Yazid Mohd Yassin sekadar melihat sepakan cantik Jose Marcio Barreto yang mencecah penjuru pintu golnya.

Namun MPPJ tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan, apabila Fabrico Rene Franecshi menceriakan pasukannya menerusi tandukan yang mencecah gawang Pulau Pinang tiga minit sebaik babak kedua bermula.

Bersemangat dengan gol penyamaan, pasukan kelab dari Lembah Klang itu sekali lagi menyentak sorakan penonton tuan rumah apabila jaringan Mohd Zaidi Zaing pada minit ke-60 meletakkan pasukannya di depan.

Anak buah Norizan Bakar yang tidak berputus asa kembali mengatur gerak dan akhirnya membuahkan hasil apabila sekali lagi sentuhan Baretto pada minit ke-63 mencecah gawang pelawat.

Kedudukan terikat 2-2 tidak bertahan lama apabila MPPJ kembali mendahului dua minit kemudian menerusi sentuhan pemain import mereka, Franecshi.

Di Stadium Perak, Ipoh, pemain tuan rumah yang terdesak kerana berdepan kemungkinan dipotong gaji 20 peratus jika kalah mencipta kemenangan ke atas Sabah 2-0.

Perak tidak perlu menunggu lama untuk memecah kebuntuan seawal minit ke-4 menerusi Frank Seator yang menyambut bola muntah dalam kotak penalti.

Ini selepas sepakan kencang Chan Wing Hoong terkena palang gol.

Seorang lagi pemain import Perak, Troare Abdoul Aye kemudiannya menggandakan jaringan buat Perak pada minit ke-20.

Gol berpunca daripada bola hantaran K. Yoganathan yang disambut dengan tandukan Troare untuk menggegar jaring.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iTbyPclW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan