Rabu, 31 Mei 2017

Aksi Perak, Pahang jadi tumpuan



ARKIB : 09/07/2005
Oleh: AMRAN MULUP

KUALA LUMPUR - Saingan Liga Super akan menutup tirai malam ini dan tumpuan pastinya kepada pertemuan Pahang menentang Perak di Stadium Darul Makmur.

Ketika Perlis lebih awal dinobatkan selaku juara Liga Super musim 2005, pertembungan Pahang-Perak dianggap lebih menarik untuk menentukan pasukan yang akan ditabalkan selaku naib juara liga dan membawa pulang wang tunai RM300,000.

Pahang yang menduduki tangga kedua di belakang Perlis sekadar dipisahkan dengan dua mata dengan Perak di tangga ketiga.

Reputasi Perak tampak sukar disekat apabila mereka meneruskan aksi rentak kemenangan menewaskan Sabah 3-0 Sabtu lepas manakala Pahang pula tersentak tunduk 2-3 kepada Telekom.

Kelibat Perak yang pada satu ketika menduduki tangga terbawah di pertengahan aksi liga kini semakin mengugat dengan ledakan Frank Seator dan Keita Mandjou yang bakal mendatangkan masalah kepada benteng pertahanan Pahang.

Buat Pahang yang terpaksa menggigit jari terlepas genggaman kejuaraan liga yang dimenangi musim lalu, kini mengharapkan kejayaan selaku naib juara buat mengubat rasa kecewa Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Perak pastinya tidak mahu kempunan untuk sekurang-kurangnya meraih kedudukan sebagai naib juara liga.

Walau apa pun, kedudukan Perlis, Pahang, Perak dan Telekom sudah terjamin beraksi dalam Liga Super musim 2006.

Bagaimanapun, nasib empat pasukan iaitu Sabah, MPPJ, Pulau Pinang dan Public Bank diambang paling getir.

Dua pasukan yang menduduki tangga terbawah liga bakal tersingkir daripada beraksi di Liga Super musim depan jika tewas dalam perlawanan terakhir malam ini.

Public Bank kini menduduki tangga kelima dengan 25 mata diikuti MPPJ (24), Pulau Pinang dan Sabah masing-masing dengan 22 mata.

Tidak ada banyak pilihan buat keempat-empat pasukan yang akan bertembung sesama sendiri bagi menentukan untung nasib sama kekal beraksi dalam Liga Super musim depan.

Kalah bermakna dua pasukan terbabit bakal turun beraksi ke Liga Perdana musim depan menggantikan tempat Selangor dan Negeri Sembilan yang telah layak ke Liga Super 2006.

Sabah akan berdepan dengan MPPJ di Stadium Likas manakala Pulau Pinang menanti kunjungan Public Bank.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iiRsCe55
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan