Jumaat, 26 Mei 2017

Strategi Perak jinakkan Pahang



ARKIB : 05/03/2005
IPOH - Jurulatih dari Brazil, Toni Netto terpaksa mengatur strategi yang lebih berkesan bagi menjinakkan Pahang dalam pertemuan Liga Super di Stadium Perak, malam ini.

Netto mengakui strategi yang disusun itu memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pemain supaya persembahan skuad Seladang akan lebih berkesan.

Penyerang lincah, Keita Mandjou, Harizul Izuan Abd Rani dan Rafdi Rashid akan menjadi tonggak utama Perak bagi merealisasikan strategi jurulatih tersebut.

Namun begitu, Netto tidak dapat menggunakan `kereta kebal' Perak, K. Nanthakumar bagi menghalang kemaraan serangan Pahang yang dijangka bertali arus kelak.

Nanthakumar terpaksa diketepikan kerana menerima kad kuning ketiga dan pemain import, Troare Abdoul Aye akan mengisi kekosongan tersebut untuk digandingkan dengan Syamsol Saad, Marian Juhas dan Chan Wing Hoong.

Jurulatih itu terpaksa memerah otak bagi merangka strategi mantap setelah menerima kritikan hebat daripada para penyokong tempatan kerana persembahan skuad Seladang dikatakan semakin merosot.

Sebelum ini, para penyokong tersebut menyatakan Netto sudah ketandusan idea apabila gerakan skuad Seladang dikatakan mudah dipintas dan dipatahkan oleh pasukan lawan.

Kini, jurulatih itu mula dipandang serong oleh para penyokong Kejor Yeop Kejor kerana gagal mempamerkan persembahan mantap sejak akhir-akhir ini.

Perak disebut-sebut mampu memberi tentangan sengit kepada pasukan-pasukan lain, tetapi hanya berada di tangga kelima liga dengan mengumpul tujuh mata.

Pasukan itu mencatat dua kemenangan, menumpaskan Selangor Public Bank 1-0 dan MPPJ 2-1 serta seri 2-2 dengan Perlis.

Skuad Seladang kalah kepada Telekom Melaka 3-0, Pulau Pinang 1-0 dan Sabah 1-0 sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan penyokong Perak.

Namun, Netto yang menerajui skuad Seladang sejak empat tahun lalu berjaya membawa Perak menjulang Piala Liga, Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Pengurus pasukan, Datuk Jamal Nasir Rasdi turut mengakui strategi permainan Perak gagal memberi tekanan yang berkesan kepada pihak lawan sejak akhir-akhir ini.

Di samping itu, Netto turut berkata: ``Skuad Seladang akan mempelbagaikan persembahannya supaya bersesuaian dengan pasukan yang hendak ditemuinya.''

Beliau terpaksa merombak kesebelasan utama skuad Seladang beberapa kali kerana persembahan para pemainnya sering turun naik.

Namun begitu, beliau percaya Perak mampu mempamerkan persembahan yang menyengat malam ini kerana semangat para pemainnya semakin membara.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4iBJWYG8x
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan