Jumaat, 19 Mei 2017

'Dah sedia robek Kedah'



Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Kuantan: Pemain import baru Pahang dari Argentina Yamil Romero sedia untuk menggempur kubu Kedah jika diberi kepercayaan jurulatih Dollah Salleh pada final Piala FA, Sabtu ini.
Pemain berusia 22 tahun itu yang sebelum ini beraksi dengan skuad simpanan Boca Juniors layak beraksi di perlawanan akhir selepas Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) berjaya melengkapkan pendaftarannya pada tempoh perpindahan pemain semalam.

Romero dibawa masuk untuk mengambil alih tempat penyerang Nigeria Bright Dike yang digugurkan kerana kurang menyerlah.

“Saya gembira kerana dapat bersama pasukan ini. Sudah pasti saya teruja jika dapat bermain di final nanti. Setakat ini saya selesa bersama pasukan dan berharap kami mampu bergelar juara,” katanya semalam.

Kehadiran Romero ini menyambung tradisi pemain import Argentina sebelum ini, Matias Conti yang pernah merangkul kejuaraan Piala Malaysia dan Piala FA 2014.

Pemain yang memiliki ketinggian 180 sentimeter, bertubuh tegap dan memiliki kemahiran kawalan bola serta kepantasan mampu menjadi aset terbaik buat Tok Gajah, cuma aspek kecergasan mencetuskan kerisauan kerana dia sudah lama tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif.

Romero diuji dalam aksi persahabatan menentang kelab Shahzan Muda FC di Stadium Darul Makmur kelmarin dan meledak dua gol termasuk menerusi sepakan penalti untuk kemenangan 5-0.

Dia yang boleh beraksi di posisi tengah dan penyerang mengakui cuba menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan dalam tempoh terdekat ini.

“Masalah komunikasi sedikit menyukarkan tapi rakan sepasukan sentiasa membantu. Saya akan cuba berikan yang terbaik untuk membantu pasukan,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 9:03 AM

Peluang Muslim buang badi
Kuantan: Pemain pertahanan Pahang Mohd Muslim Ahmad mahu pentas final Piala FA mengubah nasib kariernya.

Ketika rekod di pentas antarabangsanya agak menarik dengan satu kejuaraan Piala AFF dan dua emas Sukan SEA, pencapaiannya di peringkat domestik agak suram tanpa sebarang gelaran.

Kini peluangnya terhidang untuk mengatasi badi itu namun Muslim dan rakan sepasukannya perlu melepasi halangan Kedah di Stadium Shah Alam terlebih dulu.
ADVERTISING
inRead invented by Teads

“Memang itu hasrat saya, nak dapatkan piala untuk melengkapkan koleksi. Saya yakin kami sudah membuat persiapan yang baik dan hanya menunggu hari perlawanan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

Muslim, 28, mengalami zaman turun naik selepas keluar daripada Harimau Muda A dan menyertai Terengganu, Johor Darul Ta’zim (Johor DT), PDRM serta Kelantan sebelum menyarung jersi Tok Gajah musim ini.

Dia yang sudah lama tidak beraksi bersama Harimau Malaya bersaing merebut tempat dengan Mohd Afif Amiruddin dan pemain import Korea Selatan Heo Jae-Won dalam kesebelasan utama jurulatih Dollah Salleh.

“Dalam bola sepak biasalah, ada masa kita main baik dan ada ketika menurun. Saya tak pernah rasa kecewa untuk teruskan karier dan syukur sudah dapat semula momentum.

“Bagi saya persaingan dengan Afif dan pemain import itu baik untuk pasukan, terpulang kepada jurulatih untuk membuat keputusan,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 9:02 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan