Rabu, 15 Januari 2014

Yakin tetap bisa

Oleh Mohd Rafi Mamat

 Foto
Kuantan: Penyerang import Pahang, Dickson Nwakaeme yakin keserasiannya bersama pemain tempatan walaupun dalam tempoh tidak sampai sebulan mengikuti latihan akan membantunya merobek gawang lawan dalam usaha membawa lebih banyak kejayaan kepada skuad Tok Gajah musim ini.

“Saya yakin persefahaman lebih baik dan berkesan dapat dihasilkan apabila lebih lama kami bersama dalam satu pasukan seterusnya bersaing dalam kancah Liga Super yang akan bermula minggu depan.

“Pengalaman luas barisan pemain memberi kelebihan memahami corak permainan rakan sepasukan seperti diatur jurulatih,” katanya yang musim pertama bersama skuad Tok Gajah selepas meninggalkan Kelantan.

Nwakaeme berkata, di bahagian serangan dia bergandingan dengan seorang lagi pemain import, Matias Ruben Conti yang memiliki kebolehan menghasilkan gol dari semua sudut selain kemampuan menghasilkan umpanan menarik.

Beliau berkata, kelincahan pemain tempatan, Azamuddin Akil, R Gopinanthan dan R Surendren yang memiliki larian pantas serta kawalan bola yang baik turut menjadi senjata utama pasukan menjinakkan lawan musim ini.

“Walaupun gagal menyerlah pada siri perlawanan persahabatan sebelum ini, ia tidak seharusnya dijadikan ukuran sebenar prestasi Pahang musim ini yang ingin mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia selain Liga Super dan Piala FA.

“Beri peluang kepada kami membuktikan kemampuan, beberapa kelemahan pasti dapat diperbaiki secara berperingkat hasil tunjuk ajar jurulatih Ronald Smith yang berpengalaman luas dalam bidang kejurulatihan,” katanya.

Menurutnya, perlawanan merebut Piala Sumbangsih bertemu juara Liga Super musim lalu, Lions Xll dari Singapura, Jumaat ini akan menjadi medan ujian pertama skuad Tok Gajah sebelum melangkah ke gelanggang sebenar.

Nwakaeme berkata, saingan Liga Super musim ini dianggap lebih mencabar terutama dengan persiapan rapi daripada semua pasukan yang menyenaraikan barisan pemain terbaik mereka.
Justeru hanya pasukan yang mantap saja mampu bersaing memburu kejuaraan.

Sementara itu, bagi Conti kehadiran Nwakaeme dapat membantu Pahang mencatat kejayaan lebih gemilang musim ini seperti yang diinginkan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).

“Selepas hampir sebulan menjalani latihan bersama, saya sudah mula mendapat keserasian membentuk jentera serangan yang baik dan berkesan dalam usaha menghasilkan jaringan setiap kali perlawanan.

“Sokongan rakan sepasukan diharap memudahkan lagi usaha kami merobek gawang lawang sepanjang musim ini,” katanya.

SUMBER:Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/15

Tiada ulasan:

Catat Ulasan