Isnin, 13 Januari 2014

Tok Gajah tekad singkir PKNS

Oleh SHAHRULANOOR ISHAK dan NOR AZIRAN YUNUS

CONTI muncul wira apabila meledak hatrik bagi membantu Pahang membenam PKNS 3-2 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan minggu lalu.


PAHANG berazam menyingkirkan Selangor PKNS dalam pertemuan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam ini.
Pengendali Pahang, Dollah Salleh berkata, bagi mencapai misi itu, kelemahan beberapa posisi sudah diperkemas selepas pertemuan suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan minggu lalu.
"Selepas perlawanan (minggu lalu), sangat perlu bagi Pahang meningkatkan keupayaan dan keberkesanan beberapa bahagian terutama pertahanan.
"Diharap Pahang akan mendapat kemenangan di Shah Alam dan melangkah ke pusingan seterusnya," kata Dollah.
Dalam pertemuan suku akhir pertama di Kuantan minggu lalu, Pahang menang tipis 3-2 menerusi ledakan hatrik Matias Conti.
Sementara itu, tonggak senior Pahang, Jalaluddin Jaafar berkata, dia dan rakan-rakan sepasukannya sedia menggalas peranan masing-masing bagi mengekang kebangkitan PKNS.
"Tahap kecergasan semua pemain berada dalam keadaan terbaik termasuk Azamudin (Mohd. Akil) yang sudah pulih daripada kecederaan.
"Mohd. Hafiz (Kamal) dan Mohd. Saiful Nizam (Miswan) juga dijangka kembali beraksi selepas digantung perlawanan sebelum ini.
"Matias Conti pula pasti dikawal ketat. Oleh itu, semua pemain akan memainkan peranan dengan lebih baik supaya pasukan tidak terlalu bergantung kepada Conti," katanya.
Sementara itu, jurulatih Selangor PKNS, Abdul Rahman Ibrahim berkata, anak-anak buahnya akan tampil tanpa sebarang tekanan biarpun mereka kini ketinggalan satu gol.
"Saya akan menukar sedikit corak permainan pasukan dan telah memperbaiki beberapa kelemahan sebelum turun malam esok (malam ini).
"Semua pemain berada dalam motivasi terbaik dan tidak sabar untuk turun dalam aksi suku akhir kedua tersebut yang boleh kami anggap sebagai perlawanan 'hidup mati'.
"Kami perlu menang dalam perlawanan tersebut untuk layak ke separuh akhir," katanya.
Tatkala Pahang menagih sentuhan Conti, PKNS pula sudah pasti menyandarkan harapan kepada awang import dari Liberia, Patrick Ronaldinho.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/4.10.2013 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan