Isnin, 13 Januari 2014

Pahang dapat tajaan Puma

 

TENGKU Abdul Rahman (berdiri tengah) dan Andrade bergambar bersama pemain Pahang selepas selesai majlis menandatangi penajaan di ibu negara semalam.

JUARA Piala Malaysia 2013, Pahang menandatangani perjanjian penajaan selama tiga tahun dengan jenama sukan terkemuka dunia, Puma yang dianggarkan bernilai hampir RM1 juta setahun.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata, penajaan itu bakal menyuntik semangat pemain-pemain untuk melakar kejayaan lebih gemilang pada musim akan datang.

"Saya teruja dengan kesudian Puma untuk tampil sebagai penaja bagi tempoh yang panjang. Ikatan ini mampu menjulang Pahang ke puncak kejayaan pada musim ini.

"Kali terakhir kami memenangi Piala Malaysia ialah pada tahun 1992 lalu dan saya telah menunggu tempoh yang terlalu lama untuk Pahang menjuarainya semula apabila berjaya melakukan musim lalu.

"Dengan sokongan penuh daripada Puma, kami akan melakukan segala-galanya untuk meneruskan kegemilangan ini," katanya semasa majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain Pahang di Hotel One World, Kuala Lumpur, semalam.

Pahang yang menjuarai Piala Malaysia setelah menewaskan Kelantan 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, November lalu melengkapkan tiga gelaran domestik setelah merangkul Liga Super pada 2004 dan Piala FA dua tahun selepas itu.

Mengulas lanjut mengenai penajaan tersebut, Pengarah Urusan Puma bagi rantau Asia Tenggara, Miguel Andrade menjelaskan ia adalah lebih daripada sekadar hubungan perniagaan dengan Pahang.

"Kami gembira dapat bekerjasama dengan Pahang dan akan menyediakan persiapan yang sempurna buat Pahang untuk musim-musim akan datang.

"Kami juga turut yakin bahawa Pahang adalah duta terbaik buat jenama kami," katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Agung PBNP, Fuzzeimi Ibrahim, Ketua Pemasaran Puma Malaysia, Gabriel Yap, pegawai, jurulatih dan pemain-pemain Pahang.

Tok Gajah masih mengekalkan sebahagian besar pemain musim lalu dan dikuatkan dengan kehadiran dua pemain import baharu, Dickson Nwakaeme dan bekas pertahanan Fulham, Zesh Rahman selain tonggak import sedia ada, Matias Conti dan Damion Stewart.

Pada musim ini juga menyaksikan bekas penganalisis skuad antarabangsa Australia, Ronald Smith mengambil alih tugas jurulatih daripada Dollah Salleh yang telah memilih Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada musim ini.

Tok Gajah akan bertemu juara Liga Super musim lalu, Lions XII bagi merebut Piala Sumbangsih di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada Jumaat ini.

SUMBER : KOSMO ONLINE 14.1.14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan