Isnin, 20 Januari 2014

'Kemenangan ini sangat istimewa'

'Kemenangan ini sangat istimewa'

 
KUANTAN - Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah menyifatkan kejayaan merangkul Piala Sultan Ahmad Shah kelmarin sangat istimewa buat dirinya dan penyokong Tok Gajah kerana ia hadir selepas mereka meraih Piala Malaysia, musim lalu.

Menurutnya, lebih bermakna kejayaan itu dilakar di depan penyokong sendiri selepas menewaskan LionsXII 1-0 hasil jaringan Mantias Ruben Conti.

"Kami menjulang piala dan bermain di gelanggang sendiri (Stadium Darul Makmur) buat pertama kali. Meskipun hanya tiga mata, namun ia sangat penting dan mempunyai nilai tersendiri.

"Saya sangat berpuas hati dengan cara jurulatih Pahang (Ronald Smith) mengendalikan pasukan," katanya.

Tengku Abdul Rahman berkata, walaupun Pahang tidak menunjukkan prestasi sebenar, beliau berpuas hati dengan komitmen pemain.

Sementara itu, Smith berkata, persembahan kelmarin tidak menunjukkan potensi sebenar anak-anak buahnya dan mahu mereka mempamer aksi lebih mantap.

"Saya tidak mengharapkan semua itu dalam perlawanan pertama. Ada beberapa pemain dilihat gementar ketika beraksi.

"Dengan lebih banyak latihan serta perlawanan, saya percaya prestasi skuad ini akan menjadi lebih baik," ujarnya.

Beliau juga turut melahirkan kebimbangan apabila dua tonggak utama, Dickson Nwakaeme dan R.Surendran mengalami kecederaan.

Kemenangan tersebut juga sangat istimewa buat Conti, yang menganggapnya sebagai hadiah paling sempurna sempena hari jadinya yang ke-24, kelmarin.

Ini adalah kali kedua Conti muncul wira Tok Gajah. Dia turut menjaringkan gol tunggal ketika mereka menjulang Piala Malaysia.

"Meskipun rindu dengan keluarga dan sahabat handai, saya gembira di sini," katanya.
SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140119/su_05/Kemenangan-ini-sangat-istimewa#ixzz2qw31at8n © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan