Sabtu, 18 Januari 2014

Tok Gajah masih mencari rentak

Oleh IKHWAN IDERIS

ikhwan.ideris@kosmo.com.my
 
BARISAN pegawai dan pemain Pahang menjulang Piala Sultan Ahmad Shah selepas menewaskan Lions XII 1-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin.

SKUAD Tok Gajah masih mencari rentak permainan sebenar meskipun berjaya menjulang Piala Sultan Ahmad Shah selepas menewaskan Lions XII 1-0 pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin.

Ketua Jurulatih, Ronald Smith berkata, perlawanan tersebut masih tidak menunjukkan potensi sebenar anak-anak buahnya dan peminat boleh mengharapkan corak permainan yang lebih mantap selepas ini.

"Ini baru perlawanan pertama musim ini, saya tidak menjangkakan semuanya akan menjadi dalam percubaan pertama dan pemain dilihat agak gementar.

"Kami juga tidak berpeluang melakukan persediaan pra-musim yang baik disebabkan faktor keadaan seperti banjir selain tempoh rehat antara musim.

"Dengan lebih banyak latihan dan perlawanan, saya percaya prestasi pasukan akan menjadi lebih baik," katanya kepada pemberita sejurus tamat perlawanan tersebut.

Bagi Smith, kebimbangan utamanya kini ialah bagaimana untuk mengharungi baki perlawanan yang padat musim ini dengan kecederaan yang dialami dua tonggak utama pasukan, Dickson Nwakaeme dan R. Surendran.

"Itu masalah kami sekiranya terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat. Sekiranya berlaku kecederaan, pemain terlepas banyak perlawanan dan diharap tiada sebarang kecederaan lain yang mampu mengganggu musim kami," katanya.

"Namun, kami masih mempunyai barisan pemain-pemain lain dan kesemua mereka akan mendapat peluang masing-masing," katanya.

Bagaimanapun, Smith sepatutnya boleh menarik nafas lega setelah melihat corak permainan Matias Ruben Conti yang meledakkan gol kemenangan pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-24.

Penyerang sensasi dari Argentina itu juga menyuarakan kesediaannya untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan rakan sepasukan.

"Saya sentiasa bersedia (mengisi kekosongan yang ditinggalkan Nwakaeme) dan ingin bermain dalam setiap perlawanan, itulah sebabnya saya di sini.

"Meskipun berasa rindu dengan keluarga dan sahabat handai, saya gembira di sini dan bermain untuk pasukan Pahang," katanya.

Sementara itu, bagi Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata, kemenangan kali ini adalah sangat istimewa bagi dirinya dan penyokong pasukan Pahang.

"Kami menjulang piala Tuanku ayahanda saya dan bermain perlawanan ini di Stadium Darul Makmur buat pertama kali. Meskipun hanya tiga mata, ia sangat penting dan sentimental.

"Saya sangat berpuas hati dengan cara jurulatih (Smith) mengendalikan pasukan, pemain juga memberikan respon yang baik dan Alhamdulillah, kami dapat keputusan yang dimahukan.

"Setelah menjadi juara dan kemasukan muka baharu, setiap pemain masih beraksi baik dan saya yakin mereka akan mempamerkan kerja berpasukan yang lebih rapi dan licin selepas ini," katanya.

KOSMO ONLINE 19.1.14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan