Isnin, 13 Januari 2014

‘Kecederaan Alex tak serius’

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pengendali Pahang Dollah Salleh percaya penyerangnya Azamuddin Mohd Akil sempat pulih daripada kecederaan apabila bertemu PKNS FC di Stadium Shah Alam, malam ini.
Menurut bekas pemain kebangsaan itu, kecederaan pemain kebangsaan itu tidak serius dan khidmatnya amat ditagih dalam usaha memastikan impian ke separuh akhir Piala Malaysia menjadi milik Tok Gajah.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika Azamuddin atau dikenali sebagai Alex tidak dapat beraksi, pemain lain mampu memikul tugas di bahagian serangan dengan bergandingan bersama penyerang import, Matias Conti.
"Saya harap Azamuddin pulih dan boleh beraksi kerana dia sudah menjalani latihan bersama pasukan sejak kelmarin," katanya semalam.

Difahamkan, jika Azamuddin tidak dapat diturunkan malam ini, Dollah menyenaraikan Mohd Fauzi Rozlan bergandingan dengan Conti di bahagian serangan.

Dalam pada itu, Dollah berkata, skuadnya sudah bersedia mengharungi suku akhir kedua untuk memastikan kemenangan berpihak kepada skuad itu.
Menurutnya, kelebihan dimiliki harus dikekalkan dan bersedia untuk meraih kemenangan bermakna.

“Biarpun PKNS akan berusaha untuk menang, semua pemain perlu berwaspada bagi mengelak mereka daripada mengambil kesempatan.
"Kelebihan yang dimiliki belum lagi menjamin tempat ke separuh akhir dan saya mengharapkan pemain fokus sepanjang 90 minit,” katanya.
HARIAN METRO ONLINE: 2013/10/04

Tiada ulasan:

Catat Ulasan