Isnin, 13 Januari 2014

Kontrak Ronald hanya tiga bulan

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN

dayne.ghazali@utusan.com.my
 
Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah (tengah) bergambar bersama pemain-pemain Tok Gajah pada majlis pelancaran jersi Pahang bagi musim 2014 di Kuala Lumpur, semalam.
PETALING JAYA - Seperti satu langkah berjaga-jaga, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) hanya memberikan kontrak selama tiga bulan kepada jurulatih baharu Ronald Smith iaitu sehingga penghujung bulan Mac ini.

Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata, penawaran kontrak singkat itu bukan bermakna beliau tidak yakin sepenuhnya dengan keupayaan bekas penasihat teknikal pasukan kebangsaan Australia dan Malaysia (1999-2002) itu sebaliknya mahu melihat sejauh mana prestasi Pahang sebelum mendapat gambaran secara menyeluruh.

"Langkah ini sebenarnya menguntungkan kedua-dua pihak, jika beliau cemerlang dalam tugasannya, kita tiada sebarang masalah untuk meneruskan khidmatnya bersama Pahang dan dia juga boleh menerima syarat yang ditetapkan.

"Kita bukannya tidak yakin dengan keupayaan beliau namun tiga bulan ini boleh dianggap sebagai tempoh penilaian sebelum kami membuat sebarang keputusan untuk menyambung kontraknya.

"Bagi saya ini bukan satu isu yang besar, kontrak tiga bulan ini hanya satu klausa dalam kontrak, mungkin selepas ini kami akan lanjutkan kontrak Ronald untuk tempoh yang lama," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran jersi pasukan Pahang di sini, semalam.

Pada musim ini, juara Piala Malaysia musim lalu itu ditaja oleh jenama pakaian sukan terkemuka PUMA selama tiga tahun dengan kontrak bernilai RM1 juta.

Apa yang dilakukan oleh PBNP dilihat sebagai satu pendekatan bijak selepas melihat kejadian yang berlaku kepada beberapa pasukan musim lalu yang terpaksa membayar sejumlah gaji kepada jurulatih biarpun berada dalam status 'direhatkan' selepas gagal memberikan prestasi yang diharapkan.

Dikenali antara nama yang besar dalam bola sepak Australia kerana pernah melahirkan ramai bintang Socceroos semasa di Institut Sukan Australia, Ronald baru sahaja bersama skuad Tok Gajah menyertai perlawanan persahabatan menentang kelab-kelab dalam Liga Hong Kong dan beliau mengakui masih banyak lagi yang tidak diketahui mengenai pasukannya menjelang sepak mula menentang LionsXII, Jumaat ini dalam perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah.

"Buat masa ini saya belum lagi mengenal pasti secara keseluruhan kekuatan dan kelemahan pasukan ini kerana baru bersama pasukan ini, cuma sebagai juara Piala Malaysia sudah tentu tekanan daripada pelbagai pihak pasti akan datang dan ini adalah normal sebagai seorang jurulatih.

"Ramai bertanyakan mengenai bagaimana peluang pasukan ini selepas ketiadaan Amirulhadi (Zainal) tetapi berdasarkan apa yang saya lihat dalam latihan, masih ada pemain lain yang mampu menggalas peranan di bahagian tengah, malah saya mempunyai banyak pilihan di barisan serangan dan pertahanan," kata jurulatih dari England itu.

Sementara itu, Tengku Abdul Rahman mengesahkan PBNP telah menghantar surat rayuan mengenai keputusan Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap kedudukan Amirulhadi.

"Kami sedang menunggu jawapan terhadap rayuan itu, dan kami akan akur dengan apa sahaja keputusan yang akan dibuat oleh FAM.

"Kita harus akui kerugian satu slot kerana kontrak pemain (Amirulhadi) dikatakan tidak sah dan dia bersama pasukan lain, cuma apa yang terjadi ini tidak mematahkan semangat kita kerana Pahang bukannya satu pasukan yang bergantung kepada seorang pemain semata-mata," katanya.

Pada 27 Disember lalu, Jawatankuasa Status FAM yang dipengerusikan Datuk Takiyuddin Hassan, mengesahkan Amirulhadi menandatangani kontrak yang sah dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) untuk mewakili Johor Darul Ta'zim tetapi didenda RM25,000 kerana melanggar Peraturan Status dan Perpindahan Pemain FAM.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140114/su_03/Kontrak-Ronald-hanya-tiga-bulan#ixzz2qKC5483p © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan