Sabtu, 25 Januari 2014

Tok Gajah kecewa di Selayang

MOHD FAHMI ISMAIL

26 Januari 2014
Tok Gajah
Tok Gajah Kesebelasan utama pemain Pahang yang diturunkan Ronald Smith, malam tadi.

JARINGAN tunggal Fahrul Razi menerusi tandukan memastikan tiga mata penuh diraih Sime Darby untuk membenam Pahang dalam kancah Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Permainan sedikit hambar terutama pada 10 minit awal dengan bola banyak berlegar-legar di kawasan tengah padang.

Dilshod Sharofetdidov hampir membuka tirai jaringan tuan rumah tetapi sepakannya pada minit ke-13 sekadar melewati palang gol.

Sime Darby terus menyerang, kali ini giliran Mahmoud Al Amna mencuba, namun sepakan leretnya sekadar menuju ke arah kanan gol lawan.

Pahang dapat sepakan percuma pada minit ke-23 apabila Azidan Sarudin dikasari Mahmoud dan tiada menemui sasaran hasil sepakan berkenaan.
Tujuh minit kemudian, Asrol Ibrahim cuba mencipta peluang gol, malangnya sedikit tersasar atas palang gol.

Penguasaan bola anak buah Ismail Zakaria semakin menjadi-jadi apabila Dilshod berjaya mengelecek pertahanan lawan sebelum sepakan beliau tepat ke arah Khairul Azhan.

Pada minit ke-35, Dilshod datang lagi begitu juga Mahmoud seminit selepas itu, bagaimanapun hanya sia-sia.

Tiada sebarang jaringan terhasil apabila babak pertama ditamatkan. Bermula babak kedua, Fahrul cuba mengukir nama sebaliknya rembatan deras hanya menggegar palang pada minit ke-48.

Benteng kebal Tok Gajah akhirnya roboh juga pada minit ke-49 hasil tandukan cantik Fahrul yang tidak dikawal selepas menerima hantaran daripada Farid Ramli.

Sime Darby hampir menggandakan jaringan pada minit ke-54, tapi tendangan Mahmoud terkena tiang gol.

Permainan sedikit kecoh apabila Fahrul ‘mencuit’ pipi Matias Conti hingga memaksa pengadil memberhentikan perlawanan pada minit ke-58.

Sebaik sahaja disambung, Pahang mula menyerang balas menerusi rangkaian R Gopinathan dan Azidan Sarudin namun kekebalan barisan pertahanan tuan rumah menafikan setiap percubaan pelawat.

Sime Darby mengendurkan asakan dan sesekali melancarkan serangan kilat untuk mengukuhkan kedudukan.

Penyokong setia Pahang pula mula resah dan sentiasa memberikan sokongan tanpa henti bagi membakar semangat pemain kendalian Ronald Smith.

Bagi rekod, ini kekalahan pertama Pahang dalam saingan liga selepas segar menyingkirkan Perak pada kempen pusingan pertama Piala FA, baru-baru ini.

SINAR HARIAN ONLINE 26.1.14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan