Isnin, 13 Januari 2014

Elak kad kuning kedua - Jalaluddin

Oleh M. RIZAL NOR


Penyerang import Pahang, Matius Ruben Conti (dua dari kanan) berlatih bersama rakan sepasukan di Kuantan, kelmarin. - UTUSAN/Mahathir Ali
JERANTUT - Tiga tonggak utama Tok Gajah yang mengutip satu kad kuning mengambil sikap waspada menentang Sarawak di Kuching, esok.
Mereka ialah ketua pasukan, Jalaluddin Jaafar, Damion Stewart serta Mohd. Amirul Hadi Zainal yang masing-masing telah mengutip satu kad kuning.
Jalaluddin berkata, dia, Stewart dan Amirul Hadi perlu mengelak daripada melakukan tindakan yang membolehkan mereka dihadiahkan kad kuning kedua dalam perlawanan itu nanti.
"Kami perlu berhati-hati dalam setiap gerakan agar tidak mengasari pemain Sarawak sehingga menerima kad kuning kedua yang akan membuatkan kami berputih mata jika Pahang layak ke perlawanan akhir.
"Kami akan kehilangan Mohd. Hafiz Kamal di bahagian tengah kerana beliau digantung satu perlawanan di Kuching nanti selepas mengutip dua kad kuning sebelum ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurut Jalaluddin, Amirul Hadi yang semakin pulih pasti akan diturunkan memperkuatkan posisi tengah menggantikan Mohd. Hafiz.
Katanya, semua pemain kini bersiap sedia untuk mengekang Sarawak yang akan beraksi di laman sendiri.
"Aksi di Kuching dijangka lebih sengit kerana Sarawak ketinggalan dua gol, malah anak buah Robert Alberts pasti bangkit untuk memburu slot ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini," ujarnya.
Jalaluddin memberitahu, semua pemain tidak boleh leka dengan kelebihan kemenangan 3-1 kerana gerakan pantas penyerang Bujang Senang, Bobby Gonzales dan Muamer Salibasic sentiasa mengintai peluang untuk menjaringkan gol.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan