Sabtu, 18 Januari 2014

Tok Gajah mahu buka langkah kanan

Oleh M.RIZAL NOR-sukan@utusan.com.my
 
Penyokong Tok Gajah memasang kain rentang gergasi Elephant Army di Stadium Darul Makmur menjelang perlawanan Piala Sumbangsih menentang LionsXII. - UTUSAN/MAHATHIR ALI
TEMERLOH - Penjaga gol muda Pahang, Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid berjanji akan membuatkan LionsXII berputih mata pada perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Darul Makmur malam ini, yang turut menjadi pembuka tirai Liga Malaysia (Liga-M) 2014.

Selepas menjadi watak penting ketika membantu Tok Gajah merangkul PIala Malaysia tahun lalu, Khairul Azhan yakin, dia mampu mengulangi prestasi baik untuk memastikan Pahang memulakan musim baharu dengan langkah kanan.

Anak jati Pahang itu juga begitu optimis, andai diberi peluang mengisi kesebelasan utama pasukan, tiada sebarang jaringan mampu dihasilkan oleh pihak lawan.

Malah, dia dia juga sudah mempersiapkan diri menggalas tugas besar andai pemenang terpaksa ditentukan melalui penentuan sepakan penalti.

"Aksi pada perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lepas masih segar lagi dalam ingatan apabila saya dipaksa bekerja keras sepanjang perlawanan tersebut dan menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya lawan.

''Untuk perlawanan esok (hari ini) saya berharap agar gawang kami tidak dibolosi oleh pemain LionsXII,

"Saya mahu Pahang menjulang Piala Sumbangsih buat kali pertama dalam karier saya selain mengutip tiga mata penuh.

"Saya akan sedaya upaya untuk menambat hati Ketua Jurulatih, Ronald Smith kerana bukan mudah untuk bersaing dengan Mohd. Nasril Mat Nourdin bagi merebut tempat penjaga gol utama," katanya di sini semalam.

Baru berusia 24 tahun, Khairul Azhan mengakui, kelebihan bermain di tempat sendiri akan menjadi azimat kepada Tok Gajah bagi memenangi perlawanan malam ini.

Namun, mereka perlu berwaspada dengan serangan anak-anak buah Fandi Ahmad yang cukup terkenal mendapat sentuhan gol menerusi pergerakan bola mati.

Biarpun ketiadaan beberapa pemain senior seperti Hariss Harun, Shahril Ishak dan Baihakki Khaizan pada musim ini, dia tetap memandang tinggi kualiti yang ada pada pasukan LionsXII.

"Kita tidak tahu sejauh mana keupayaan pemain Lions XII kerana kebanyakannya adalah pemain muda namun saya yakin Damion bersama rakan-rakan termasuk Zeshan mampu mengemudi benteng dengan kemas.

''Serangan lawan perlu dipatahkan lebih awal supaya bola tidak sampai ke dalam kotak penalti," ujarnya.

Pengendali Pahang, Smith dijangka menggandingkan Damion dan Rehman di bahagian pertahanan tengah dan menukar Razman Roslan kembali beraksi di posisi asalnya ketika bersama Selangor iaitu sebagai bek kanan.

Sementara itu, Shahrizan Salleh akan bertindak sebagai bek kiri dan Azamuddin Akil serta R. Gopinathan terus memacu kekuatan Tok Gajah di bahagian sayap.

Smith berharap para pemain di posisi tengah juga harus lebih banyak mengusai bola bagi memudahkan jentera serangan yang diketuai oleh Dickson Nwakaeme dan Matias Conti mencipta peluang untuk menjaringkan gol.

''Penguasaan bola oleh pemain tengah cukup penting dan saya yakin rakan-rakan saya sama ada Azidan Sarudin, Mohd. Faizol Hussein atau Hafiz Kamal mampu melaksanakannya.

"Apa yang penting adalah semua pemain harus mengetahui peranan masing-masing dan bermain dengan semangat satu pasukan selain mematuhi arahan jurulatih bagi memastikan kejayaan milik kami," jelasnya.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140117/su_03/Tok-Gajah-mahu-buka-langkah-kanan#ixzz2qlC6r1xR © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan