Isnin, 13 Januari 2014

Tok Gajah sedia amukan kedua

Tok Gajah sedia amukan kedua

Matias Conti
KUANTAN - Tok Gajah kini bersiap sedia untuk menggempur kubu PKNS sekali gus mencipta kemenangan bagi memastikan mereka layak ke saingan separuh akhir Piala Malaysia musim ini.
Kemenangan 3-2 pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur, di sini Jumaat lalu menjadi pemangkin untuk skuad kendalian Dollah Salleh itu menjinakkan PKNS di Shah Alam pada Jumaat ini.
Ketua pasukan Pahang, Jalaluddin Jaafar berkata, semua pemain sudah bersedia dengan mental dan fizikal untuk melakar satu lagi kemenangan sekali gus menyingkirkan anak buah Abdul Rahman Ibrahim dalam saingan kali ini.
“Semua pemain dalam keadaan baik termasuk Mohd. Azamudin Mohd. Akil yang sudah pulih daripada kecederaan.
“Kehadiran semula Mohd Hafiz Kamal dan Mohd. Saiful Nizam Miswan akan meningkatkan lagi semangat juang kami untuk ke saingan separuh akhir," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurutnya, kebangkitan penyerang import Pahang, Matias Conti yang mencipta hatrik ketika membenam PKNS Jumaat lalu membuktikan pasukannya begitu optimis untuk menang.
Bagaimanapun katanya, Tok Gajah tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada Conti kerana penyerang dari Argentina itu pasti akan dirantai oleh pertahanan PKNS, Jumaat ini.
“PKNS pasti mengawal ketat Conti dan kita perlu bijak untuk menggunakan semua peluang yang terhidang untuk menjaringkan gol," ujarnya.
Jalaluddin berkata, mereka perlu memperkemaskan lagi bahagian tengah dan pertahanan agar tidak mudah dirobek oleh lawan terutama penyerang import PKNS, Patrick Ronaldinho.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131003/su_08/Tok-Gajah-sedia-amukan-kedua#ixzz2gfRyU4w9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan