Rabu, 30 November 2016

Pahang cari formula baru

ARKIB : 12/04/1999
JURULATIH Pahang, Fuzzeimi Ibrahim kini masih tercari-cari formula yang cukup berkesan untuk mengekalkan prestasi skuad Tok Gajah yang kini sering turun naik.

Selepas menjadi jaguh di gelanggang sendiri, Tok Gajah menjadi pasukan belasahan ketika bertandang ke gelanggang lawan, lapor BORHAN ABU SAMAH.

Fuzzeimi memikul tanggungjawab berat kerana selain berusaha meningkatkan tahap kecergasan para pemain, beliau juga perlu menggarap strategi yang berkesan dalam masa yang begitu suntuk selepas mengambil alih tugas dari Alan Davidson.

Kekurangan tahap kecergasan menyaksikan Pahang terpaksa bekerja keras ketika menentang Negeri Sembilan dan para pemainnya longlai ketika bertandang ke Stadium Barakas sewaktu berdepan dengan Brunei.

Kesannya masih ketara ketika menentang Kuala Lumpur yang menyaksikan para pemain masih lembap dalam merebut bola menyebabkan Pahang agak sukar menggugat pasukan warga kota yang dianggotai barisan pemain muda.

Hanya pada separuh masa kedua sahaja gerakan yang diatur oleh Pahang lebih lancar sehingga memaksa pasukan pelawat hanya bertahan.

Selain itu mungkin strategi Fuzzeimi menggunakan satu pemain penyerang ketika di gelanggang lawan perlu diubah.

Taktik itu berkesan ketika di bawah bimbingan Jorgen Erik Larsen yang memiliki tonggak pertahanan import kental Emmanuel Kofi Ampiah.

Namun tugas itu kini dipikul oleh Azhar Kamaluddin yang tidak begitu kebal menghadapi asakan bertali arus.

Sebaliknya Fuzzeimi perlu menggunakan kelebihan di bahagian serangan yang ditunjangi oleh Azizul Kamaluddin dan Wan Rohaimi Wan Ismail untuk memaksa lawan bertahan.

Kombinasi pemain itu tidak boleh dipisahkan. Ini terbukti apabila kedua-dua pemain diturunkan di gelanggang sendiri lebih banyak gol dapat dijaringkan.

Bagaimanapun Fuzzeimi ketika ditemui selepas perlawanan menentang Kuala Lumpur berkata: ''Saya berpuas hati kerana setiap empat peluang diperoleh satu gol berjaya dihasilkan,'' katanya.

Sumber=Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RTz4B1Fx © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan