Sabtu, 12 November 2016

Tok Gajah lemah pertahanan

ARKIB : 29/01/1999
WALAUPUN baru memikul tanggungjawab sebagai Jurulatih Pahang, Alan Davidson telah mengenal pasti kelemahan barisan pertahanan menjadi punca kepada persembahan tidak bermaya pasukan itu musim lalu.

Davidson yang pernah mengemudi pertahanan Pahang selama lima tahun sejak 1992, berkata, kelemahan pertahanan menjadi punca utama kegagalan mengharungi kempen Piala Malaysia tahun lalu.

''Berdasarkan kajian yang saya jalankan, Pahang mempunyai jentera penyerang yang cukup tajam dan tidak menghadapi masalah untuk menjaringkan gol.

''Tetapi dalam masa yang sama benteng pertahanan Pahang terlalu lemah sehingga menyebabkan gol Pahang mudah dibolosi lawan,'' katanya ketika ditemui di Kuantan, kelmarin. Beliau mengambil alih sebagai jurulatih Rabu lalu.

Tambahnya, analisis yang dibuat mendapati Pahang menjaringkan 20 gol dan dalam masa yang sama juga melepaskan 30 gol pada Liga Perdana, manakala pada Piala Malaysia pasukan itu menjaringkan sembilan gol dan melepaskan 19 gol.

Menurut Davidson, keadaan itu menunjukkan hakikat pertahanan Pahang perlu disusun semula dengan taktik yang baru dan dibekalkan dengan semangat yang lebih kental.

Ujarnya, para pemain Pahang akan menjalani latihan ala tentera di pangkalan Angkatan Tentera Kuala Lipis pada minggu depan.

''Latihan keras itu diharap akan dapat mempersiapkan mental dan fizikal para pemain untuk mengharungi Liga Perdana dan kempen Piala Malaysia,'' katanya.

Pahang bukanlah pasukan mudah diperkecilkan kemampuannya, pada tahun 1993 pasukan yang turut dikenali dengan gelaran Tok Gajah itu menjuarai Piala Sumbangsih dan mengulanginya pada tahun 1995.

Pahang juga merangkul gelaran juara Piala Malaysia pada tahun 1994 dan muncul juara Liga pada tahun 1995 serta menjuarai Piala FA dan muncul naib juara Piala Malaysia pada tahun yang sama.

Bagi menghadapi cabaran musim ini Pahang yang menggunakan 70 peratus tenaga muda berharap mengembalikan maruah sebagai pasukan elit Pantai Timur.

Davidson berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan pemain senior seperti Azizul dan Azhar Kamaluddin kerana telah memahami corak permainan mereka.

Bagaimanapun, katanya, pemain muda seperti Jalaludin Jaafar dan Khairul Nizam Haniff perlu berusaha keras untuk mempersiapkan diri mereka.

Selain Azhar dan Azizul, Pahang turut mengekalkan para pemain musim lalu seperti Shahrulnizam Sahat, Ali Tahar, Ahmad Shaharuddin Rosdi, Zuraimi Hassan (kedua-dua kini menyarung jersi kebangsaan), Mudzar Mohamad, Jalaludin Jaafar, Khairulniza Mustafa dan Suhaimi Mohd Noor.

Muka-muka baru ialah Alif Rohaimi Ismail, Tuan Rosli Tuan Shaari, Wan Rohimi Wan Ismail, Za Zakaria, Khairunizam Haniff, Rizal Abdul Ghani, P. Ramachandran, Darul Nazri Danial dan Azihan Kamaluddin.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Prc8Zyk9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan