Jumaat, 4 November 2016

Pasukan Pahang cari penawar

ARKIB : 10/10/1998
LALUAN masih jauh dan berliku namun kerancakan aksi semakin membayangi lapan pasukan yang pasti berhempas pulas memburu kedudukan terbaik dalam perlawanan Piala Malaysia malam ini.

Selepas juara Perdana Satu, Pulau Pinang tewas 0-1 kepada Kuala Lumpur dalam kumpulan A, keputusan yang tidak disangka berdasarkan keupayaan Harimau Kumbang menewaskan pasukan lebih handal, Negeri Sembilan dan Kedah, tumpuan kini beralih kepada Sabah.

Sabah kembali digeruni selepas menewaskan naib juara Perdana Satu, Pahang 4-1 sehingga memaksa jiran tetangganya Brunei menanti penuh debar dalam saingan kumpulan B, di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Kemantapan Sabah, bukan sahaja memiliki penyerang berwibawa David Rocastle dan Saphou Lasey tetapi dikawal penjaga gol nombor satu negara, Khairul Azman Mohamad yang kini semakin sukar untuk ditewaskan.

Bagaimanapun, Brunei yang sebelum ini hanya seri 4-4 dengan Pahang masih mampu melakukan kejutan menerusi gandingan berbisa Patrick Akapo dan Mohd. Iman Bothwell.

Pahang pula terpaksa mencari penawar sekalipun berdepan tugas berat kerana menghadapi Perak yang impikan kemenangan selepas tewas 0-2 kepada Sabah dan seri 1-1 dengan Sarawak.

Kumpulan A juga menarik membabitkan pertemuan dua jaguh, juara Perdana Satu Pulau Pinang dan juara Perdana Dua Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Selepas tewas kepada Kuala Lumpur, pastinya Pulau Pinang tidak boleh lagi beraksi sambil leka, malah menuntut dua kembali gandingan importnya, Merzagua Abderrazzak dan Riyard Abbas menggegarkan jaring lawan.

Namun, bukannya mudah untuk menggertak Terengganu yang semakin bergaya di bawah bimbingan jurulatih Abdul Rahman Ibrahim berdasarkan kemampuannya setakat ini.

Kuala Lumpur yang semakin dihormati selepas mencipta kemenangan ke atas Pulau Pinang akan diberi tentangan sengit oleh Negeri Sembilan.

Dalam perlawanan kumpulan A, di Stadium Persatuasn Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) Cheras, skuad warga kota akan membariskan penyerang S. Paidiya Rau dan Mior Nor Samsul Kamal.

Sebaliknya, Negeri Sembilan turut mempertaruhkan harapan kepada Abdul Halim Jantan atau Affendi Julaihi untuk menggegarkan jaring lawan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4P5kGWbkV

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan