Ahad, 13 November 2016

Tok Gajah layan pemain sama rata

ARKIB : 19/02/1999
PAHANG yang bercita-cita merangkul sekurang-kurangnya satu piala dalam persaingan Liga Malaysia akan melayani semua pemainnya secara sama rata tanpa mengira mereka bertaraf bintang atau pemain baru.

Layanan sama rata pengurusan skuad Tok Gajah itu terbukti apabila semua pemain tanpa mengira status menjalani latihan ketenteraan di Kem 8 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), baru-baru ini.

Pengurusnya, Talib Sulaiman berkata, pemain bertaraf bintang tidak penting dalam skuadnya kerana keutamaan ialah tahap permainan yang berkualiti dan bersungguh-sungguh.

''Saya selalu tekankan tidak ada seorang yang boleh dipanggil bintang, kita anggap semua pemain sama rata, tidak kurang tidak lebih,'' ujarnya semasa dihubungi Sukan Utusan semalam.

Malah menurutnya, pemain yang dianggap bintang oleh peminat termasuk Azizul Kamaluddin berikutan reputasinya selaku penyerang terbaik, akan diketepikan jika tidak menunjukkan permainan yang baik.

Pahang juga, tegas Talib, tidak meletakkan harapan seratus peratus ke atas Azizul untuk menggegar gawang lawan di mana sekarang ramai pemain yang berkebolehan berbuat demikian.

Beberapa pemain seperti Jalaluddin Jaafar, Shahrulnizam Sahat dan Ahmad Shaharuddin Rosdi berkeupayaan menjaringkan gol khususnya semasa situasi Azizul dikawal ketat, katanya.

Mengenai tugas ketua pasukan, Talib berkata, setakat ini belum ada pemain yang dikenal pasti bakal memikul tanggungjawab itu.

''Kita masih meneliti perkembangan pemain tetapi berdasarkan beberapa perlawanan persahabatan nanti, barulah dapat kita tentukan,'' katanya.

Beliau menjelaskan, pemilihan ketua pasukan akan bergantung kepada kemampuan pemain mengawal diri dan rakan sepasukan serta mempunyai tahap disiplin yang baik sama ada dalam padang atau di luar.

Mengenai perlawanan persabahatan dengan Johor FC di Stadium Darulmakmur malam ini, Talib berkata, perlawanan itu terpaksa dibatalkan atas sebab teknikal.

''Tetapi jadual perlawanan dengan Johor akan kita teruskan pada 20 Februari ini,'' katanya yang turut mengumumkan keputusan untuk tidak menyertai Kejohanan Empat Penjuru melibatkan Negeri Sembilan, Johor, Selangor dan Perak pada 1-10 Mac depan.

Kata beliau, Pahang pada mulanya berminat menyertai kejohanan itu tetapi disebabkan sudah terikat dengan perlawanan persahabatan bersama pasukan negeri lain, ia terpaksa dibatalkan.

Selain menentang Johor, Pahang akan bertandang ke Stadium Larkin untuk perlawanan timbal balik termasuk dengan Johor FC.

''Walaupun tidak menyertai kejohanan itu, kita rasakan latihan dan persiapan sudah mencukupi, jadual kita cukup ketat,'' ujarnya yang merujuk latihan kendalian Alan Davidson bermula pukul 5 hingga 7.15 petang setiap hari.

Mengenai K. Ramachandran yang menimbulkan masalah kepada pengurusan Pahang kerana gagal menghadiri latihan selepas menandatangani kontraknya, Talib berkata, bekas pemain Kuala Lumpur itu telah menjalani latihan sejak Isnin lalu.

''Alan juga nampaknya gembira dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Ramachandran, kita harap ini akan berterusan,'' tambah beliau.

Oleh: ZULKIFLI HAMZAH

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PtVsTmPD © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan