Jumaat, 4 November 2016

PBNP minta siasat punca kekalahan skuad Pahang

ARKIB : 12/10/1998
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta pengurusan skuad Pahang mencari punca yang menyebabkan prestasi skuad berkenaan terus menurun, lapor YUSWANDI MAJID.

Beliau berkata, pengurusan skuad Piala Malaysia Pahang harus menyelesaikan segera masalah berkenaan dalam apa jua keadaan bagi mengembalikan kecemerlangan pasukan berkenaan.

''Saya hampa dengan prestasi Pahang dalam persaingan Piala Malaysia yang menurun secara mendadak,'' katanya kepada pemberita di Kuantan, kelmarin.

Beliau berkata, Pahang yang sudah melepaskan lapan gol dalam dua perlawanan menentang Brunei dan Sabah sudah tentu memberi satu petanda yang kurang baik.

Prestasi Pahang yang kurang meyakinkan terutama dalam pertemuan ketiga malam semalam semasa tumbang 1-2 kepada Perak 1-2 di Kuantan sudah menimbulkan keresahan peminat sendiri.

Pahang yang juga merupakan naib juara Liga Perdana kini sekadar memungut satu mata dari tiga perlawanan serta menduduki tangga tercorot kumpulan B.

Sebelum itu, Pahang sekadar seri 4-4 dengan Brunei dalam perlawanan pembukaan di Stadium Darulmakmur dan tumbang kepada Sabah 1-4 di Kota Kinabalu.

Dalam perlawanan malam semalam, Pahang masih gagal menyerlah dan sering kali kehilangan bola terutama pada babak pertama.

Nasib Pahang bagaikan sudah jatuh ditimpa di tangga apabila pemain pertahanannya Suhami Mohd. Nor diperintah keluar padang kerana membentes penyerang Perak, V. Saravanan di dalam kotak penalti.

Jaringan melalui tendangan penalti yang disempurnakan Roslan Hamid itu, meninggalkan Pahang dalam kedudukan yang tertekan kerana ketika ketinggalan 0-2, skuad Tok Gajah itu terpaksa pula beraksi dengan 10 pemain.

Tengku Abdullah menegaskan, pengurusan Pahang perlu memperbetulkan setiap masalah yang berlaku sebelum terus menggugat peluang meraih kejuaraan dalam Piala Malaysia.

''Saya mengharapkan skuad Pahang melakukan sesuatu dalam kancah Piala Malaysia setelah kecewa dalam Liga Perdana.

''Pihak pengurusan harus membuat sesuatu dan diharap ada pembaharuan dan perubahan dilakukan bagi membolehkan skuad Tok Gajah membaiki kedudukan,'' katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sasaran dan peluang Pahang untuk menjuarai Piala Malaysia, Tengku Abdullah berkata, skuad itu akan menumpukan setiap perlawanan sebelum memikirkan untuk mencapai tujuan berkenaan.

''Kita mengambil sikap untuk menumpukan satu-satu perlawanan dan berharap akan dapat melepasi halangan untuk ke peringkat seterusnya,'' ujarnya.

Beliau berharap pemain Pahang dapat menunjukkan permainan yang lebih berkualiti dalam perlawanan seterusnya dan terus berjuang walaupun ketinggalan.

''Saya harap setiap pemain dapat menampilkan aksi bermutu tinggi dan tidak memikirkan kedudukan, kerana walaupun ketinggalan tidak bermakna semuanya sudah berakhir,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4P6d1dQHT

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan