Sabtu, 5 November 2016

Pahang kian pasrah

ARKIB : 18/10/1998
BUJANG SENANG mengganas di lubuk sendiri apabila melibas Pahang 3-1 pada pertandingan bola sepak Piala Malaysia bagi kumpulan B di Stadium Sarawak, Petra Jaya, malam tadi.

Gol-gol kemenangan Sarawak diperoleh menerusi ketua pasukan, William Bone (6), Mohd. Ali Sapiee (21) dan Alistair Edwards pada minit ke-41.

Manakala gol sagu hati skuad Tok Gajah dijaringkan oleh Ahmad Shaharuddin Rosdi minit ke-10.

Kemenangan yang dilakarkan di hadapan kira-kira 5,000 penonton benar-benar melegakan Bujang Senang dalam usaha mencari tempat ke separuh akhir kempen Piala Malaysia musim ini.

Ketika Sarawak ceria mengutip tiga mata penuh, Pahang terus sugul kerana tewas tiga kali berturut-turut dalam empat perlawanan mereka setakat ini.

Beraksi di gelanggang sendiri, juara Sumbangsih mempamerkan persembahan cemerlang dengan melakukan percubaan seawal minit pertama melalui William Bone.

Empat minit kemudian Ramos Sari berpeluang mencipta jaringan, tetapi rembatannya melewati sasaran.

Dalam serangan bertali arus, Bobby Chua dijatuhkan pemain pertahanan Pahang, Jalaludin Jaafar minit keenam dan William menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan pengadil dari Terengganu, Mat Lazim Awang Hamat.

Biarpun ketinggalan 0-1, semangat pemain Tok Gajah tidak pernah luntur malah mereka terus mengatur serangan ke kubu Sarawak. Dalam satu serangan kilat, tampil Ahmad Shaharudin Rosdi menghukum barisan pertahanan lawan dengan merembat masuk untuk gol penyamaan minit ke-10.

Perlawanan bertambah rancak dan kedua-dua pasukan saling menghidu ruang untuk membina jaringan.

Hasil daripada satu gerakan cantik, Mohd. Ali menyambut baik hantaran Ramos Sari untuk menghasilkan gol kedua Sarawak minit ke-21.

Pemain import, Alistair Edwards memperkukuhkan kedudukan dengan gol ketiga selepas memanfaatkan hantaran Ramos empat minit sebelum permainan separuh masa pertama dihentikan.

Pada babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan terus berusaha untuk menambah jaringan, tetapi setiap percubaan yang dilakukan tidak menepati sasaran.

Oleh: ANUAR ARIFFIN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1018&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4P7Csm4dm © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan