Selasa, 29 November 2016

Adunan strategi saya berjaya - Fuzzeimi

ARKIB : 05/04/1999
TERPAAN terbang penjaga gol Negeri Sembilan, Azmin Azram Aziz masih gagal menampan bola tandukan Wan Rohaimi untuk gol kedua Pahang pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Darul Makmur, Kuantan, kelmarin. Pahang menang 5-0. - Gambar NAZUDEEN MAHMUD.

BIBIT-BIBIT kejayaan buat Pahang mula terserlah apabila dengan mudah membenamkan Negeri Sembilan 5-0 dalam perlawanan bola sepak Perdana Satu di Stadium Darulmakmur, Kuantan kelmarin.

Keputusan diluar dugaan itu sekali gus membolehkan Pahang melonjak dari tangga keempat dan merampas takhta Liga Perdana Satu dari Pulau Pinang.

Kejayaan itu tentunya memberi kelegaan kepada pemangku jurulatih Pahang, Fuzzeimi Ibrahim yang menjadi 'bidan terjun' memikul tanggungjawab yang ditinggalkan oleh ketua jurulatih Pahang, Alan Davidson.

Selepas menjadi penolong jurulatih selama dua musim bersama bekas jurulatih Pahang, Jorgen Erik Larsen dari Denmark, Fuzzeimi nampaknya sudah cukup pengalaman.

Kekalahan kepada Negeri Sembilan sewaktu perlawanan persahabatan di Stadium Darulmakmur tempoh hari merupakan pengajaran berguna untuk skuad Tok Gajah pada persaingan sebenar.

Dendam sudah terbalas, Kijang yang sebelum ini bermaharajalela di Kuantan mudah dapat dijinakkan oleh Tok Gajah.

Namun Fuzzeimi tidak mahu anak buahnya terlalu yakin dan berpuas hati dengan kejayaan itu kerana perjalanan masih jauh.

Fuzzeimi yang turut terkejut dengan kemenangan besar ke atas sebuah pasukan, yang di atas kertas merupakan pasukan yang serba lengkap di semua posisi dengan dibarisi bekas pemain-pemain kebangsaan.

Katanya, pada perlawanan kelmarin, semua pemain memberi komitmen sepenuhnya dan bermain sebagaimana yang telah dirancang.

Beliau juga tidak menafikan corak permainan yang digunakannya adalah hampir sama dengan Larsen.

''Saya mengadunkan taktik yang digunakan oleh Larsen dengan saya kerana itulah yang paling sesuai bagi pemain tempatan.

''Kita hanya mempunyai pemain yang bersaiz kecil dan memiliki kepantasan. Atas sebab itulah saya menggunakan pendekatan permainan satu sentuhan one touch serta hantaran pendek.

''Ini membolehkan kepantasan pemain digunakan sepenuhnya. Namun jika kita mempunyai pemain bersaiz besar lain pula taktiknya,'' katanya ketika jurulatih itu sewaktu ditemui sejurus berakhirnya perlawanan.

Fuzzeimi berkata, walaupun menang dan strategi menggunakan dua penyerang - Wan Rohaimi Wan Ismail dan Azizul Kamaluddin berkesan, para pemainnya nyata kurang dari segi kecergasan.

''Mereka boleh naik dengan pantas tetapi mudah kehilangan tenaga dan agak perlahan ketika turun bertahan apabila diasak lawan,'' ujarnya.

Pada perlawanan itu, pemain yang dibeli dari Kelantan, Wan Rohaimi dan Azizul layak mendapat pujian kerana bijak mengucar-kacirkan benteng pertahanan lawan dengan gerakan pantas serta menunjukkan kombinasi yang cukup serasi.

Kepantasan Azizul dilengkapkan lagi dengan Wan Rohaimi yang bijak mencari ruang untuk membuat hantaran yang cantik serta mampu mencipta peluang menjaringkan gol untuk diri sendiri.

Oleh: BORHAN ABU SAMAH

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RS3t9Xaf © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan