Selasa, 29 November 2016

Pahang ranapkan rekod tanpa kalah K. Lumpur

ARKIB : 11/04/1999
PAHANG memusnahkan rekod tanpa kalah Kuala Lumpur setelah berjaya membenamkan pasukan warga kota itu 3-0 pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Darulmakmur, Kuantan, semalam.

Pahang yang bertekad menebus maruah selepas dibelasah Brunei 0-4, baru-baru ini, bermain dengan cemerlang untuk mematahkan setiap serangan lawan.

Akhir separuh masa pertama menyaksikan anak buah Fuzzeimi Ibrahim mula menemui sentuhan dan pada minit ke-37, gol pertama Pahang muncul.

Khairul Niza Haniff yang melihat keadaan penjaga Kuala Lumpur, Kamarul Idham Amirudin mati langkah, terus menolak ke penjuru kanan gol.

Azizul Kamaluddin kemudiannya menyilangkan bola kepada Wan Rohaimi Wan Ismail yang merembat masuk ke kiri gol lawan untuk gol kedua Pahang.

Alif Rohaimin Azizhan pula melengkapkan kecemerlangan tuan rumah dengan jaringan ketiga pada minit terakhir.

PAHANG: Mohd. Ali Taha, Azahar Kamaluddin, Wan Rohaimi Wan Ismail, Alif Rohaimin Azizhan, Azizul Kamaluddin (Darul Nazri Daniyan), Shahrul Nizam Sahat, K. Ramachandran, Ahmad Shahrudin Rosdi, Mohd Khairul Niza Haniff, Mohd Azaruddin Aziz dan Zuraimi Hassan.

KUALA LUMPUR: Kamarul Idham Amirudin, Azali Mat Jusoh, Mohd. Imran Ahmad, G. Muthu (Mohd. Zulkhibri Raob), M. Karunakaran, Azlan Hussain, Azmir Nor Hakim Burhan (M. Eswaran), Mohd. Nazaruddin Yusof, Mohd. Khairi Zainuddin, K. Hemadas dan P. Saravanan.

Sementara itu, tiga gol dalam tempoh tujuh minit berjaya membantu Brunei mencatat kemenangan 3-2 sekali gus mengakhiri rekod tanpa kalah Perak di tempat sendiri di Stadium Perak, Ipoh.

Perak terpaksa bermain 10 orang selepas penjaga gol mudanya, Mohd. Ramzi Razuwan dibuang padang pada minit ke-73.

Barisan pertahanan tuan rumah turut melakukan kesilapan mudah yang membawa Brunei menjaringkan tiga gol tersebut.

Selepas mendahului 1-0 menerusi jaringan M. Nagaraja pada minit ke-44, separuh masa kedua jelas menjadi igauan buruk buat skuad Seladang bila tiba gol Brunei menerusi Rosli Liman (61), Mohd. Brian Iman (62) dan Rosanan Samak (68).

Perak berjaya merapatkan jurang gol menerusi P. Gunasekaran pada minit ke-76 tetapi ia sudah terlambat untuk menebus kesilapan awal.

Aksi kasar babak kedua menjejaskan rentak permainan terutama tetapi keadaan itu tidak menghalang Brunei untuk memperoleh dua gol dalam tempoh 50 saat.

PERAK: Mohd. Ramzi Razuwan (Zamri Mat Arif), Chan Kok Heng, R. Vikneswaran, Roslan Hamid (K. Nanthakumar), Chan Wing Hoong, M. Nagaraja, Azrul Amri Burhan, Abu Bakar Fadzim, P. Gunasekaran, Mior Nor Samsul, Domi Che Non (Lim Seng Kong).

BRUNEI: Mohd. Yunus Md. Yusof, Matrilu Mohammad (Rosanan Samak), Rosli Liman, Sallehuddin Damit, Fadlin Gelawat, Mohd. Brian Iman, Mohd. Ali Momin, Patron Akakpo, Abang Norsillmy Abang Taha, Nordin Tujoh, Irwan Mohammad.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0411&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RTH4I54B © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan